PASANGAN kembar Amin dan Abid, menyambut Syawal dengan ‘throwback’ zaman dahulu berbanding mendengar lagu raya semasa pulang ke kampung halaman di Sitiawan, Perak.
Amin dan Abid, atau nama lengkapnya Muhammad Amin dan
Muhammad Abid Othman, 24, merupakan pasangan kembar serta pempengaruh terkenal TikTok dengan penghasilan konten berkenaan reka cipta sehingga meraih perhatian netizen.
Sebelum ini, mereka tidak pernah merasai nikmat Syawal dengan membeli pakaian baharu untuk digayakan pada pagi raya disebabkan bapa mereka memilih untuk meraikannya secara bersederhana.
“Sebelum ini kami raya tidak rasa sangat sebab ayah kalau boleh lebih suka bersederhana dengan duduk rumah. Kadangkala tiada baju rayatapi sejak kami dah membesar, baru ada baju raya sedondon.
“Jadi dari situlah kami merasai keindahan beraya bersama-sama dan cara beraya berbeza sedikit.
“Kalau kebiasaan orang lain naik kereta pasang lagu raya tapi kami akan tutup radio dan bersembang cerita pasal zaman dulu-dulu untuk eratkan silaturahim kalau pulang ke kampung. Ayah lebih memilih dalam kereta tutup radio dan bersembang,” ujarnya.
Dalam pada itu, mereka juga turut berkongsi kepada URTV, bahawa akan melancarkan tiga video khusus buat pengikutnya semperna meraikan Hari Raya yang mulia ini.
Menurutnya, video tersebut akan mengisahkan tentang pelita dan baju raya kucing yang akan dimuat naik sebelum bulan Syawal tiba.
Mengulas isu tersebut, mereka mengatakan bahawa pembuatan pelita dan baju raya untuk kucing sudah menjadi rutin bagi mereka sejak dahulu lagi, akan tetapi sekarang mereka ingin mengangkat dan berkongsi karya-karya tersebut kepada penonton melalui penghasilan video.
“Raya tahun ni lain, sebab kami perlu ‘shoot’ konten awal sebelum raya.
“Insyallah akan keluarkan tiga video iaitu video pelita, ada dua bahagian dan video berkaitan baju raya kucing, sebelum raya akan post.
“Pertama sekali, pelita tu kami dah buat waktu kecil, cuma bezanya kami tidak buat video sahaja sebab tiada lagi TikTok.
“Macam ayah suka buat reka cipta, jadi kami nak angkat ayah punya idea tu buat konten dalam TikTok.
“Baju raya pun sebenarnya sudah ada, cuma kita akan tambah sedikit untuk buat video dan gambungkan dengan yang lama,” katanya.
Walau bagaimanapun, pasangan kembar ini juga menyatakan bahawa jika mendapat permintaan dan respon positif dari orang ramai, mereka akan mencuba untuk menjual baju raya kucing pada masa akan datang.
“Untuk sekarang kami buat untuk kucing kami sahajalah, sebab kami tak menang tangan dan buat sendiri. Tapi kami tak pasti pada masa akan datang. Insyallah kami sangat berbesar hati untuk keluarkan,” katanya lagi.
Disamping itu, mereka juga bercadang untuk mengadakan rumah terbuka dan akan mempamerkan hasil karya mereka kepada pengunjung yang datang, bagi bersama-sama meraikan kemeriahan Hari Raya dengan lebih bermakna.

