AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan lima warganegara Indonesia disyaki pencuri besi buruk di perairan Johor Timur pagi semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran.
Katanya, Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili sebelum itu telah menerima aduan daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) pada jam 10.45 pagi berhubung sebuah bot tunda BONGAWAN 9 bersama barge HEXAGRO 9 dengan muatan besi buruk.
“Bot itu dalam perjalanan daripada Labuan menuju Pelabuhan Klang telah dinaiki beberapa orang suspek dan cuba mencuri muatan barge tersebut di kedudukan 3.8 batu nautika selatan Tanjung Penyusop.
“Sejurus aduan diterima, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Menyedari kehadiran Maritim Malaysia, suspek bertindak cuba melarikan diri namun berjaya dipintas dan ditahan pada jam 11.50 pagi di kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Penyusop,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata, bot tahanan telah mengalami kebocoran yang tidak dapat dikawal dan telah tenggelam pada kedudukan 2.0 batu nautika tenggara Tanjung Bulat semasa diiring ke jeti Pos Maritim Pengerang.
Katanya, lima lelaki tersebut merupakan warga Indonesia berumur di antara 31 hingga 53 tahun dan kesemua suspek telah dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk yang mana jika didapati bersalah, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan boleh juga dikenakan denda sehingga RM 4 ribu.
Mohd Najib berkata, kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM 10 ribu serta boleh dikenakan enam sebatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

