MALAYSIA bersama negara-negara bertamadun lain menggesa rejim zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan keadaan tegang di Asia Barat.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara, pagi tadi.
Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, tujuan mesyuarat itu dilakukan bagi berbincang lebih lanjut tentang situasi tegang di Asia Barat mengambil kira perbincangan yang telah diadakan semalam.
Jelasnya, mesyuarat diadakan dua hari berturut-turut itu menunjukkan perhatian serius Kerajaan MADANI terhadap isu tersebut dan usaha yang diambil bagi memastikan Malaysia serta rakyatnya tidak terjejas oleh perkembangan itu.
Anwar menegaskan, pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab dilakukan rejim zionis Israel terhadap kedutaan Iran di Damsyik.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut berpuas hati dengan jaminan diberi kerajaan Iran yang tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan kecuali diserang oleh rejim zionis Israel.
“Pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.
“Bersama negara-negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.
Baca artikel lain: Kerajaan tidak pinggir kebajikan kaum India – PM Anwar
“Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Selain itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pegawai-pegawai kanan kerajaan turut serta dalam mesyuarat tersebut.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan perkembangan terbaharu melibatkan konflik di Asia Barat itu memberi kesan yang kecil kepada negara.
Beliau berkata, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dibuka dengan kejatuhan yang amat kecil, mencerminkan trend serantau.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan itu dengan teliti dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.
Katanya, kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama.
“Kunci penyelesaian kepada isu ini ialah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan yang tidak berperikemanusiaan yang melanda Gaza.
“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini tanpa gangguan lain dengan gencatan senjata berkekalan mesti diwujudkan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.
“Dalam hal ini, sumbangan Malaysia terbaharu sebanyak 100 kontena dijangka berlepas pada 27 April ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

