MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir perlu tegas berhubung isu pengiktirafan program Parallel Pathway (PP) yang dikatakan tidak diiktiraf dalam negara.
Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, hal itu kerana proses melahirkan pakar adalah dibawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Jelas beliau, menjadi tugas kerajaan menyediakan peruntukan dan menggalakkan lebih ramai lagi pegawai perubatan terlibat dalam latihan pelbagai kepakaran termasuk kardiotorasik di universiti tempatan.
Katanya, kerajaan tidak perlu meminda akta bagi membolehkan National Specialist Register (NSR) mendaftarkan individu tertentu seperti mana yang cuba dilakukan dengan usaha untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50).
“Cukup dengan peruntukan sedia ada dengan mendaftarkan individu yang telah mengikuti latihan yang diiktiraf dalam negara dan latihan bertauliah.
“Begitu juga Majlis Perubatan Malaysia (MMC), perlu tegas dan tidak harus ditekan oleh mana-mana pihak atas dasar keprofesionalan bidang perubatan sejajar dengan undang-undang sedia ada.
“Kredibiliti NSR dan MMC harus terus dipertahan secara profesional. Disamping itu mana-mana program Sarjana tempatan yang tidak diiktifar harus dikaji semula dan diperkasakan kursus latihannya agar memenuhi standard.
“Adakan negara mahu kompetensi dan kredibiti pakar bedah kardiotorasik boleh dicabar? Siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang implikasi di masa hadapan?,” katanya menerusi perkongsian di media sosial hari ini.
Baca artikel lain: Parallel Pathway: Jangan gelojoh pinda Akta 50 untuk iktiraf institusi asing – Hasan Mad
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan pada 2 April lalu memaklumkan, KKM akan membawa cadangan kepada Kabinet agar pelatih program PP boleh didaftarkan sebagai pakar di bawah Akta 50.
Jelas kenyataan itu, Dr Dzulkefly berharap pindaan akta tersebut dapat dilakukan pada Jun depan berikutan kekurangan doktor pakar yang mendesak.
“Dengan itu, tertakluk kepada keputusan lanjut Jemaah Menteri bagi cadangan pindaan Akta 50 berkenaan program PP, KKM memberi sepenuh komitmen bahawa pelatih daripada ini yang telah menyelesaikan program tersebut dengan jayanya akan dijadikan berhak didaftarkan sebagai pakar di bawah Akta 50,” jelas kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus mencadangkan agar doktor-doktor yang mengikuti program PP untuk turut mengikuti modul dan Latihan sangkutan di institut pengajian tinggi IPT dalam negara yang menjalankan program kepakaran khusus kardiotorasik.
Menurut beliau, langkah itu bagi membolehkan doktor-doktor yang mengikuti program PP diiktiraf dan didaftarkan sebagai pakar bedah kardiotorasik oleh Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).
“Pihak kerajaan harus memandang kepada kesan jangka masa panjang berkaitan kredibiliti bidang perubatan negara.
“Jangan sekadar hanya menyelesaikan masalah jangka pendek namun menimbulkan pelbagai persoalan dan persepsi,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

