ADIK perempuan kepada aktres Ruhainies iaitu Asha Zainul Ilyas kagum dengan sikap kakaknya yang tetap tenang dan memaafkan pihak yang telah melemparkan kecaman terhadapnya.
Biarpun teruk dihentam dan dihina, namun Ruhainies terus berlapang dada atas apa yang berlaku sebelum ini.
“Saya sangat memandang tinggi kepada awak (Ruhainies). Awak berdiam diri selepas apa yang berlaku.
“Awak juga memberitahu saya bahawa awak telah memaafkan semua orang yang berkata buruk dan memfitnah awak.
“Saya bangga dengan awak. Awak ikhlas untuk memaafkan mereka tanpa perlu memberitahu dunia adalah perkara yang hebat. Subhanallah,” ujar Asha menerusi entri di Instagram Storynya.
Dalam pada itu, Asha turut menjelaskan bahawa hanya Allah, keluarga dan sahabat karib akan kekal bersama Ruhainies yang lebih tahu cerita sebenar.
“Allah, keluarga kita, kawan rapat dan saya sendiri akan sentiasa ada untuk awak. Kerana kami tahu apa yang orang lain tidak tahu.
“Tolong kekal tenang seperti ini kerana saya menghormati awak,” jelasnya lagi
Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas,32, turut mengulang siar hantaran tersebut di Instagram story miliknya.
Pelakon Terjerat itu meluahkan cukup hanya Allah SWT yang mengetahui kebenaran sebenar tentang apa yang terjadi selama ini.
“Cukuplah Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu. Terima kasih adik, sayang awak,” tulis Ruhainies.
Selepas dilanda pelbagai kontroversi hangat, Ruhainies memilih untuk ke Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadah umrah bersama keluarga, sambil berpeluang berpuasa dan menyambut Aidilfitri di sana.
Terdahulu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff Aziz dan Ruhainies kantoi ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.
Selepas beberapa hari mendiamkan diri, Alif dan Ruhainies tamil menjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf menerusi kenyataan rasmi yang di keluarkan di media sosial mereka.
Mereka dibebaskan pada hari sama tangkapan dan sehingga kini masih belum ada sebarang kemaskini tarikh pembicaraan kes khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Susulan isu tersebut, isteri Aliff iaitu penyanyi dan pelakon Bella Astillah memfailkan cerai secara ekpres terhadap Aliff pada 13 Mac.
Namun, menerusi sebutan kes cerai pada 4 April lalu, Aliff enggan menceraikan Bella dengan alasan masih ada rasa sayang dan sedang cuba menyelamatkan perkahwinan mereka.

