POLIS mengesahkan penahanan suspek kedua kes ragut seorang pejalan kaki di Jalan Desa Wira, Kuching, pagi semalam.
Suspek yang berjaya melarikan diri selepas rakannya ditahan orang awam di lokasi kejadian, telah ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, suspek kedua ditahan di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuching pada pukul 5 petang oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan.
Beliau berkata, suspek mengaku menunggang motosikal ketika kejadian.
“Kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan berusia 20 dan 30 tahun akan direman di Mahkamah Kuching pada Selasa bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya, polis akan menyiasat penglibatan kedua-dua suspek ini dalam kes lain yang mempunyai modus operandi sama.
Semalam UtusanTV melaporkan tindakan pantas orang awam berjaya mengagalkan cubaan ragut dua penjenayah terhadap seorang pejalan kaki di Taman Desa Wira.
Difahamkan, dalam kejadian pukul 7.54 pagi itu, mangsa berusia 58 tahun itu sedang berjalan kaki seorang diri.
Mangsa secara tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal sebelum cuba meragut beg tangan mangsa.
Orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut telah bertindak menghalang suspek daripada melarikan diri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

