KETIADAAN pimpinan tertinggi Pas pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB), semalam disifatkan bukan satu isu besar.
Sebaliknya, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, keseluruhan pemimpin Pas Selangor berada di Kuala Kubu Bharu pada hari penamaan calon itu.
Malah, kata beliau, langkah Pas mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas 2024 di Perlis, semalam telah diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat sebelum bulan Ramadan lagi.
Pada masa sama, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, hebahan kepada umum berhubung majlis itu telah diuar-uarkan seawal 18 April di Facebook rasmi Pas Perlis di mana pada waktu itu Perikatan Nasional (PN) masih belum memutuskan parti komponen mana yang akan bertanding mewakili PN di PRK DUN KKB.
Beliau berkata, gerak kerja kempen sebelum penamaan calon juga telah menyaksikan ramai pemimpin kanan Pas turut ikut serta.
“Pegawai-pegawai yang ada di sekeliling menteri perlu maklumkan pada beliau bahawa Pas mengadakan Hari Terbuka Idulfitri 2024 semalam dan keputusan untuk mengadakannya pada tarikh dan tempat tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat AJK Pas Pusat sebelum bulan Ramadan lagi.
“Mengadakan sambutan hari terbuka sempena hari raya di negeri-negeri bukanlah satu amalan asing dalam Pas. Untuk rekod, tahun 2022 sambutan diadakan di Perak manakala tahun lepas 2023 diadakan di negeri Kedah.
Baca artikel lain: Pimpinan kanan PAS ada di Perlis, bukan KKB hari ini – Fahmi
“Jadi, tiada isu. Mungkin menteri terlepas pandang kerana tidak mendapat jemputan. Saya fikir selepas ini Pas boleh memikirkan untuk turut menjemput pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) cuma dibimbangi situasi janggal boleh berlaku kerana majlis ini atas nama parti, bukannya kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, isu tersebut tidak perlu diberikan perhatian pun kerana menyifatkan ia bukanlah isu besar.
“Apa yang perlu diberikan perhatian ialah pengumuman MCA bahawa parti itu tidak akan menyertai kempen dan gesaan Ketua Pemuda UMNO bahawa ‘jangan pilih pemimpin hipokrit’ dan ‘hantar mesej yang jelas dalam pilihan raya ini’.
“Semua pihak boleh meneka kepada siapa mesej itu dituju,” katanya.
Semalam, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil membangkitkan persoalan mengenai keberadaan pemimpin utama PAS di Perlis berbanding di Kuala Kubu Baharu, Selangor.
Beliau berkata, perkara itu dilihat agak ‘menarik’ namun beliau tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin PAS kerana tidak berada di Kuala Kubu Baharu khususnya pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, semalam.
Difahamkan, Pas menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka peringkat pusat parti itu di Dewan 2020, Kangar dari pukul 11 pagi hingga 2 petang.
Antara yang hadir pada program itu ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis. Mohd Shukri Ramli.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

