AHLI Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya membuka pintu rundingan dan penerangan lebih telus berhubung kerja-kerja pengalihan 90 tapak perkuburan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi tujuan projek lalu ECRL.
Tegas beliau, isu melibatkan perpindahan tapak kubur umat Islam sangat sensitif, oleh itu ia perlu diuruskan dengan penuh hemah dan teliti agar semua pihak khususnya mereka yang terjejas berpuashati dan menerimanya dengan baik.
”Oleh itu saya merasakan tempoh seminggu yang diberikan oleh Menteri Besar (menangguhkan kerja-kerja pengalihan) itu tidak realistik dan terlalu tergesa-gesa. (Sebaliknya) tempoh masa sekurang-kurangnya 30 hari bagi saya lebih berpatutan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam beliau bersama beberapa wakil waris yang terlibat dalam isu pengalihan tapak perkuburan telah melawat tanah perkuburan tersebut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
Dr. Halimah turut menggesa Kerajaan Negeri membuka semua pilihan yang rasional untuk waris termasuk menimbang sejumlah pampasan munasabah sekiranya tindakan perpindahan tidak dapat dielakkan demi meringankan gangguan emosi dan tekanan mereka yang terpaksa memberi kerjasama.
‘’ Saya juga mengharapkan kiranya proses perindahan terpaksa dilaksanakan, agar wakil waris dibenarkan hadir untuk menyaksikan proses ini demi memuaskan hati pihak yang terjejas, Semoga cadangan yang saya kemukakan ini dengan mengambil kira kepentingan waris yang terdiri dari penduduk negeri Selangor segera mendapat perhatian Menteri Besar dan Kerajaan Negeri, dan satu keputusan yang baik dan dapat dicapai dan diterima semua tanpa mencetuskan suasana tegang serta ketidakpuasan hati rakyat negeri ini,’’ katanya.

