PENDEKATAN siasatan tatakelola yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) dalam usaha menangani isu rasuah pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Menurut Pengarah BPT SPRM, Datuk Izani Wan Ishak berkata, ia terbukti apabila proses pengendalian kontena di Pelabuhan Tanjong Pelepas, Johor yang diberi penambah baikan telah naik ke tangga 15 dunia tahun 2020 berbanding tangga ke-18 tahun 2017 pada Global Ports Ranking.
“Kami telah masuk dan memeriksa sistem dan proses pengendalian kontena setelah menerima aduan kontena lambat masuk dan dikeluarkan kerana terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang melambatkan pergerakan kontena berkenaan.
“Jadi kami memberikan khidmat nasihat kepada mereka (pihak berkuasa pelabuhan) melakukan perubahan dalam sistem dan amalan, dan hasilnya kedudukan mereka di peringkat global meningkat,” katanya.
Tambah beliau, kedudukan tersebut dinilai berdasarkan kapasiti kargo (TEU) dan penambahbaikan yang dilaksanakan telah meningkatkan kecekapan pengendalian kontena Pelabuhan Tanjong Pelepas.
“Kejayaan ini sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai dan pastinya penyiasatan secara proaktif melalui penyiasatan tatakelola mendapat impak positif yang sangat baik.
“Yang pasti, perananan menyiasat bagi mengesan kelompongan dalam tatacara kerja dapat mengurangkan ketirisan selain mengembalikan kerugian yang dialami sesebuah organisasi,” katanya dalam sesi wawancara khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, baru-baru ini.
Tambah Izani, selain itu kes lain yang menggunakan pendekatan penyiasatan tatakelola dan memberikan impak besar ialah kutipan tabung masjid yang tiada peraturan khusus bagi mengawal kewangan yang diterima sebelum ini.
Jelasnya, tindakan yang dilaksanakan bersama Jabatan Agama Islam (JAKIM) ini berhasil apabila satu garis panduan berkaitan penggunaan kewangan masjid telah dikeluarkan.
“Garis panduan ini bukan sahaja telah diguna pakai masjid-masjid dibawah JAKIM dan juga di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong tetapi turut menjadi model untuk kegunaan masjid-masjid negeri dan tidak ketinggalan rumah-rumah ibadat yang lain.
“Pada masa yang sama ‘Op Green’ iaitu operasi berkaitan isu penipuan dalam meminda dan mengubah butiran kenderaanbahan bakar diesel kepada diesel hijau telah berjaya dilumpuhkan dari segi operasi, manakala dari sudut pencegahan, BPT berjaya menutup kelompongan dalam sistem yang mengakibatkan ketirisan dalam sistem dan amalan,” katanya.
Berbicara lebih lanjut mengenai penjenamaan semula Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) kepada BPT, Izani menjelaskan, ia kerana cara bekerja bahagian itu dahulu kurang memberi impak yang dikehendaki dan perlu ditambah baik serta diperkuatkuasakan.
Jelas beliau, fungsi-fungsi BPMP termasuk meneliti amalan, sistem, tatacara sesebuah organisasi selepas siasatan dijalankan atas isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa atau atas permintaan organisasi terbabit.
Namun Izani memberitahu, pendekatan tersebut tidak mendapat impak besar kerana pemeriksaan dan rundingan yang dilaksanakan akan berakhir dengan memberi khidmat nasihat kepada organisasi terbabit.
“Pendekatan ini kadang-kadang tidak diambil serius dan tindakan yang tegas tidak dilaksanakan, sekali gus tidak memberikan impak yang dikehendaki.
“Jadi apabila dijenamakan semula, peranan BPT dapat meningkatkan keberkesanan sistem pentadbiran sesebuah organisasi sekali gus menambah keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan kerajaan,” katanya.

