LAPORAN akhir dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada 23 April lalu dijangka siap sepenuhnya pada 29 Mei ini.
Markas Tentera Laut dalam kenyataan memberitahu, lembaga siasatan yang ditubuhkan sebaik sahaja kejadian itu berlaku akan terus mengenal pasti aspek-aspek berkaitan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dan menyediakan laporan akhir secara menyeluruh dan terperinci.
“TLDM memberi jaminan bahawa siasatan ini dilaksanakan secara telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“TLDM akan terus berusaha untuk memastikan aspek kebajikan ahli keluarga mangsa nahas diuruskan dengan sebaiknya terutama berhubung ganjaran dan faedah-faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, lembaga siasatan telah mengeluarkan laporan awal mengenai insiden berkenaan.
Berdasarkan laporan awal itu, dua helikopter berkenaan disahkan berada dalam keadaan airworthy atau selamat untuk terbang pada hari kejadian.
Pada masa sama, Markas Tentera Laut memaklumkan, kerja-kerja penyelenggaraan helikopter HOM AW139 dan pesawat Fennec itu disahkan dilaksana mengikut prosedur serta rutin ditetapkan pihak pengeluar peralatan asli (OEM).
Selain itu, laporan awal itu turut mendapati keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.
“Kesemua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat atau fit to fly. Tahap kelayakan penerbangan udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
“Pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 tidak dilengkapi peralatan tersebut.
“Data yang telah dianalisis daripada kotak hitam pesawat itu telah diterima pada 3 Mei lalu untuk penilaian lanjut Lembaga Siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Markas Tentera Laut memaklumkan, lembaga siasatan yang ditubuhkan itu dianggotai seramai sembilan pegawai TLDM yang berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara.
Jelasnya, lembaga siasatan itu turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara – Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baca artikel lain: Keputusan laporan interim nahas helikopter TLDM minggu depan
Markas Tentera Laut memaklumkan, kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman kotak hitam pesawat HOM.
“Lembaga siasatan sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyumbang kepada insiden tersebut.
“Perkara yang diteliti merangkumi aspek termasuk analisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan profil tersebut menggunakan simulator penerbangan dan juga pesawat sebenar.
“Selain itu, meneliti bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan,” katanya.
Dalam insiden pada jam 9.32 pagi itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.
Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90.
10 mangsa yang terkorban itu termasuk dua pegawai memerintah skuadron helikopter TLDM iaitu Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM iaitu Komander Muhamad Amir Mohamad.
Dua pegawai berpangkat Leftenan Komander turut meninggal dunia iaitu Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi.
Selain itu, mangsa yang terkorban ialah Leftenan T Sivasutan; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Insiden tersebut turut mengorbankan tiga penumpang iaitu Pegawai Waran II TNL, Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar; Laskar Kanan JJM, Joanna Felicia Rohna.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

