BEKAS Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming hari ini mengingatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak mentafsirkan kemenangan calon DAP, Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Sabtu lalu sebagai ‘undi percaya’ untuk PH dan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, tafsiran seumpama itu adalah satu kesilapan kerana rasa tidak puas hati terhadap kerajaan adalah ‘nyata dan berkembang’ dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

“Ramai rakan saya dalam PH akan mengingati PRK Ijok April 2007 yang dimenangi secara agak selesa oleh calon Barisan Nasional (BN. Tidak sampai setahun kemudian, pada Mac 2008, dalam PRU ke-13, BN kehilangan penguasaan Selangor dan majoriti dua pertiga di Parlimen,’’ katanya dalam kenyataan.
Pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Bharu, Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi selepas memperolehi 14,000 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi dan calon bebas Nyau Ke Xin (188 undi).
Peratusan keluar mengundi ialah 61.5%, lebih rendah daripada 69.25% yang dicatatkan di Kuala Kubu Baharu untuk Pilihan Raya Negeri Ogos lalu.
Kian Ming bagaimanapun mengakui PH menyaksikan peningkatan sokongan dalam kalangan polis, tentera, penjawat awam, pengundi Orang Asli dan India, berbanding PRN 2023.
“PH memenangi lebih 95% undi Cina, lebih 70% undi India dan Orang Asli dan lebih 60% pengundi awal dan pos,” katanya.
Pada masa sama, Ka Ming turut mengingatkan UMNO supaya tidak mempercayai bahawa undi Melayu semakin memihak kepada parti itu.
Beliau berkata keputusan di kawasan majoriti Melayu di Kuala Kubu Baharu menunjukkan sebaliknya.
“Parti masih tidak mempunyai pelan permainan yang jelas tentang bagaimana ia akan memenangi semula undi Melayu, khususnya dalam kalangan belia Melayu,” katanya.
Kian Ming berkata, PH mengalami sedikit kehilangan pengundi Melayu, dengan gabungan itu kehilangan tempat di lima pusat pengundian majoriti Melayu di mana bahagian undinya menurun sebanyak 1.3% daripada 40.0% pada 2023 kepada 38.7% pada 2024.
Mengenai pencapaian PN, Kian Ming berkata, di sebalik kejayaan PN memenangi lebih 80% undi Melayu, gabungan itu tidak seharusnya menganggap populariti semasanya akan menjamin kemenangan mudah pada PRU akan datang (PRU16).
“Walaupun mereka pasti mempunyai majoriti sokongan Melayu di peringkat nasional, ia masih harus dilihat sama ada ini mencukupi untuk mereka memenangi majoriti kerusi di Semenanjung, terutamanya jika beberapa cabaran kepimpinan dalam Bersatu terus melemahkan keupayaan parti untuk berkempen dan menampilkan diri sebagai ‘government in waiting’ berwibawa,” katanya.
Beliau berkata, parti politik dan pemimpin secara amnya masih mempunyai ‘banyak landasan’ untuk membuat penyelarasan diperlukan untuk memenangi kelompok tengah Melayu menjelangnya PRU16.
“Medan perangnya melibatkan kalangan kelompok tengah, khususnya Melayu yang boleh beralih sokongan dengan kepimpinan, dasar dan pelaksanaan yang baik,” katanya.

