RATU rock negara, Ella akan menggegarkan pentas sekali lagi dengan konsert istimewa bertemakan Jilid Rockestra Ella: Rokers Juga Manusia anjuran Hitman Solutions dan RockQueen.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Rohit Rampal, keputusan untuk menganjurkan konsert ini adalah hasil permintaan yang tinggi daripada peminat Ella yang sentiasa bersemangat melihat penyanyi itu beraksi di atas pentas.
Malah, kerjasama yang hebat diantara penyanyi itu dan pasukan RockQueen telah memperkukuh hasratnya untuk menyatukan peminat dan persembahan, yang kini menjadi satu realiti yang ingin dicapainya.

“Kerjasama dengan Ella dan pasukan RockQueen adalah satu pengalaman yang amat mengagumkan.
“Setelah menganjurkan 4 buah konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota tahun lepas, kami masih menerima permintaan yang tinggi dari peminat-peminat Ella untuk menyaksikan Ella beraksi sekali lagi di atas pentas.
“Oleh itu, sebagai tanda penghargaan kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi sekali lagi demi mencipta satu lagi konsert yang istimewa buat peminat setia Ella,” ujarnya kepada URTV.
Perkara tersebut dikongsikan ketika sidang media bersama rakan-rakan media di Restoran Rumah Nusantara di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Ella atau Norzila Aminuddin, 58, turut mengatakan bahawa konsert kali ini akan membawa perubahan dalam persembahan dengan kreativiti dan gabungan rock serta orkestra yang akan diatur oleh seorang pengarah muzik ulung, iaitu Datuk Hashridz Murshim Hassim atau Acis yang akan memberikan pengalaman dengan penuh kemeriahan kepada para penonton.
“Konsert sebelum ini menceritakan tentang perjalanan seni dan kisah 35 tahun kerjaya saya yang merupakan representasi lengkap diskografi saya sebagai penyanyi rock.
“Selain gabungan rock dan orkestra, konsert ini memberi kami peluang mempersembahkan kreativiti kami dalam berkarya dengan penambahan lagu-lagu hit yang belum sempat dimainkan, dan masih dibawah pimpinan pengarah muzik iaitu Datuk Hashridz Murshim Hassim,” katanya.

Disamping itu, pelantun lagu Sembilu ini turut memberitahu bahawa konsep untuk konsert yang bakal berlangsung masih dalam proses perbincangan.
Namun begitu, dia dengan jelas menyatakan hasrat untuk membawa elemen ‘Rockchic Rockestra’ ke atas pentas itu nanti.
“Konsep konsert ini masih dalam perbincangan namun secara keseluruhannya adalah rapi, dari segi elemen muzik, set pentas, fesyen ‘glam rock’ dan semuanya akan kami ambil kira.
“Namun secara keseluruhannya boleh saya rangkumkan dalam satu ayat, ’rockchic rockestra’,” katanya lagi.
Selain itu, dia turut mendedahkan bahawa terdapat juga penampilan khas yang akan turut serta dalam memeriahkan malam konsert tersebut. Namun, memilih untuk merahsiakannya sebagai kejutan buat para penonton yang hadir menyaksikannya nanti.
“Selain itu artis jemputan, akan ada segmen khas dimana saya akan mendendangkan beberapa buah lagu asli diiringi tarian buat penonton yang hadir.
“Saya tidak mahu kongsi selebihnya kerana malam tersebut bakal menjadi spektakular.
“Harapan saya semoga konsert ini bakal menjadi kenangan indah buat semua yang hadir, dengarkan muzik saya dengan sajian audio visual dan pengalaman luar biasa untuk dikenang.
“Dan semoga kita akan jadi seperti dua insan, bercinta. Peace, Love dan Rindu,” jelasnya.
Konsert Jilid Rockestra Ella: Rokers Juga Manusia ini akan menemui penonton pada 9 Ogos depan bertempat di Plenary Hall, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC).
Difahamkan, sebanyak 25 lagu akan dipentaskan, tanpa termasuk siri medley lagu yang akan diubahsuai bagi memenuhi permintaan peminat dengan durasi persembahan sekitar dua jam 30 minit.
Tiket penjualan akan dibuka pada 16 Mei ini dengan harga bermula dari RM 148 (Bronze), RM 198 (Silver), RM 288 (Gold), RM 388 (Platinum), RM 488 (Diamond), RM 788 (VIP) dan RM 888 (VVIP), menerusi laman web WWW.HITMANLIVE.COM .

