BEKAS ahli kumpulan Dolla, Syasya Rizal tetap dengan pendiriannya untuk melangsungkan perkhawinan kerana enggan berjauhan bersama suami.
Difahamkan suaminya iaitu Nasrullah ingin melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian di United Kingdom selepas sambutan hari raya Aidiladha nanti.
Menurut Rozie Othman, 62, yang juga nenek kepada Syasya menyatakan dia hanya memiliki pilihan sama ada untuk tinggal ke luar negara bersama suami atau melupakan hubungan perkhawinannya itu.
“Suami Syasya nak sambung belajar dan mahu ikatan mereka sah sebagai suami isteri. Jika diikutkan Syasya masih belum bersedia tapi suaminya kata kalau tidak(mahu berkhawin) nak cari orang lain.
“Saya kecewa juga apabila pulang dari Makkah dapat tahu Syasya nak bernikah.Saya ada tanya kenapa tergesa-gesa? Tapi mereka sudah rancang sejak awal.
“Tapi itu semua ketentuan dan kuasa Allah,” katanya menerusi petikan laporan Mstar.
Sementara itu, pelakon ini turut memberitahu bahawa suami cucunya itu sehingga kini masih tidak memiliki sebarang pekerjaan disebabkan ingin melanjutkan pelajaran.
Walau bagaimanapun, dia tetap menitipkan nasihat kepada cucunya untuk terus menjadi isteri yang baik, disamping menjaga diri apabila tiba di luar negara kelak.
“Saya ada pesan pada Syasya agar dia jadi isteri yang baik dan solehah kepada suaminya dan sentiasa jaga diri apabila berada di tempat orang nanti. Kalau suatu hari nanti nak buat kemunculan semula, kena pandai bawa diri dan juga nama baik suami,” katanya.
Tambahan itu, Rozie turut mendedahkan bahawa pada 8 Jun ini, pasangan tersebut akan diraikan dalam sebuah majlis kenduri di sebuah dewan sekitar ibu kota.
Untuk rekod, sebelum ini, Dolla telah membuat pengumuman mengejutkan apabila Syasya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri melalui hantaran di akaun rasmi mereka pada 8 Mac yang lalu.
Walau bagaimanapun, Pihak UMM telah mengesahkan bahawa Syasya telah selamat bernikah dengan lelaki pilihannya yang dikenali sebagai Nasrullah pada 21 April lalu.

