KEPUTUSAN untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel diibaratkan sebagai beban bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung oleh rakyat pada satu masa.
Ini setelah kerajaan baru melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik dan cukai barang bernilai rendah pada Januari 2024, kenaikan tarif air pada Februari dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada Mac.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak prihatin terhadap keluhan dengan meneruskan juga pelaksanaan rasionalisasi subsidi ketika rakyat sedang susah.
Dakwanya, berdasarkan apa yang diucap oleh Perdana Menteri dalam perutusannya, Anwar tidak yakin beliau tahu apa yang perlu dibuat selepas ini.
“Saya teliti maklum balas rakyat di media sosial rata-ratanya kesal dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai penyasaran subsidi diesel yang kemudiannya akan disusuli dengan RON 95.
“Ramai yang secara sinis menyinggung Perdana Menteri yang dahulunya berjanji akan menurunkan harga minyak. Namun, realitinya tidak begitu.
“Apabila menjadi Perdana Menteri, beliau menarik balik subsidi yang akan menyebabkan kenaikan harga minyak.
“Secara lebih serius, ramai yang mempersoalkan kesan penarikan balik subsidi ini ke atas kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Ini suatu kebimbangan yang berasas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baca artikel lain: Pesawat terbang rendah, TUDM laksana latihan bermula esok hingga 2 Jun
Lebih mengecewakan, kata Muhyiddin, Anwar tidak memberikan penjelasan secara terperinci bagaimana isu beban kos sara hidup rakyat akan ditangani secara tuntas akibat penarikan balik subsidi diesel.
Yang diumumkan ujarnya, hanyalah bantuan akan diberikan kepada beberapa golongan pemilik kenderaan tertentu.
Soalnya bagaimana pula dengan kesan penarikan balik subsidi diesel ke atas seluruh rantaian bekalan, apakah langkah komprehensif yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanganinya namun tidak dijelaskan.
Tegas beliau, apa yang rakyat ingin tahu sekarang apakah pakej-pakej bantuan yang akan diterima oleh mereka hasil daripada penjimatan subsidi.
“Diumumkan juga penarikan balik subsidi ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM4 bilion. Tidak ada penjelasan secara terperinci bagaimana hasil penjimatan ini akan dibelanjakan oleh kerajaan.
“Saya perhatikan angka-angka ekonomi yang dinyatakan oleh Perdana Menteri seperti kadar pertumbuhan ekonomi, nilai pelaburan dan inflasi tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat di bawah.
“Bayangkan jika penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95 tidak ditangani dengan cekap dan berkesan oleh kerajaan, kenaikan kos sara hidup rakyat akan berlaku dengan lebih mendadak,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata, disebabkan itu semasa berucap di Parlimen pada bulan Mac yang lalu, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya menangguhkan dahulu pelaksanaan rasionalisasi subsidi khususnya bagi diesel dan petrol.
Jelasnya, ini memandangkan rakyat sedang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit yang memberi kesan langsung ke atas kos sara hidup.
“Rata-rata rakyat masih mengeluh mengenai kesukaran yang terpaksa mereka hadapi akibat kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

