Pucuk Midin bukanlah pucuk paku biasa. Ada yang memanggilnya paku uban merah, paku midin, paku bulu, paku keru, paku lembiding,paku kemiding, paku ikan dan paku niding. Jangan keliru, itu semua sayur yang sama iaitu pucuk midin.
Pucuk midin atau nama saintifiknya Stenochlaena Palustris, kini semakin pupus. Agak sukar mencari pucuk midin berbanding pucuk paku biasa. Tumbuhan liar ini, tumbuh di tanah dataran rendah, kawasan paya gambut, air tawar, hutan belukar dan kawasan semak di tepi-tepi jalan. Pucuk midin berwarna merah atau merah kehijauan.
Sayur eksotik ini sangat terkenal di Sarawak dan jika dinikmati di restoran, harga sepinggan pucuk midin agak mahal. Pengambilan pucuk midin sebagai makanan dijamin selamat dan mengandungi pelbagai khasiat dengan setiap 100 gram pucuk muda mengandungi 4.8 mg zat besi, selain mengandungi vitamin A (beta karotene) yang penting bagi menguatkan penglihatan dan mencegah rabun malam.
Tumbuhan liar ini kaya dengan mineral terutama fosforus dan kalium. Perubatan secara tradisional percaya pucuk midin mampu mengubati masalah kesihatan seperti penyakit ciri birit, menurunkan berat badan, mencegah hipertensi dan mencegah kenaikan kolesterol.
Pucuk Midin selain digoreng, tumis air, dimasak gulai, boleh juga dijadikan ulaman. Jika di sebelah Pantai Timur, pucuk midin yang dipanggil pucuk niding ini antara salah satu ramuan wajib untuk bubur lambuk. Rasanya memang sedap, lain dari yang lain. Bukan itu sahaja, pucuk midin ini juga boleh mencegah penuaan secara semulajadi jika diamalkan pengambilannya.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

