PENYANYI, Putri Ariani enggan menyambung semula sesi temu bual dengan media tempatan ketika sidang media WalkerWorld Tour 2024 yang berlangsung hari ini.
Menurut wakil penganjur dari Megatix Malaysia, bapa penyanyi yang terkenal melalui American Got Talent (AGT) musim ke-18 iaitu Ismawan Kurnianto, tidak memberi kebenaran untuk berjumpa semula dengan media tanpa alasan kukuh.
“Maaf, bapanya baharu maklumkan Putri tak akan turun bertemu media untuk menyambung semula sesi temu bual yang tertangguh.
“Maaf juga media terpaksa tunggu hampir dua jam,” katanya kepada pihak media.
Media tempatan hanya diberikan peluang untuk bertanya tiga soalan sahaja namun malangnya Putri tidak memberikan jawapan yang memuaskan.
Walau bagaimanapun, sesi temu bual itu terpaksa ditunda apabila pengurusannya membawa penyanyi berusia 18 tahun itu keluar dari dewan dengan alasan belum bersarapan serta berjanji akan membawa Putri Ariani itu untuk bertemu semula dengan pihak media bagi melanjutkan sesi temu bual.
Namun, seperti yang dijangkakan, selepas hampir menunggu dua jam, pihak media kecewa dengan tindakan tidak profesional pengurusan penyanyi tersebut apabila pada akhirnya mereka menghentikan terus sesi temu bual mengenai konsertnya bersama Alan Walker yang dijadualkan pada 22 Jun depan di Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Putri memulakan kerjayanya ketika menyertai Indonesia’s Got Talent pada 2014 dan kemudian menghadiri uji bakat AGT 2023.
Ketika penampilan pertama, dia membawakan lagunya aslinya berjudul Loneliness.
Setelah itu, juri AGT iaitu Simon Cowell memberinya peluang lagi dengan lagu Sorry Seems to Be the Hardest Word nyanyian asal Elton John.
Kagum dengan persembahan tersebut, Simon telah memberikan ‘golden buzzer’ sekaligus menjadikannya layak ke pentas akhir dipertandingan tersebut.

