“Kau tak pandai main, curi nyawa aku!”

Dari Penulis

Kanak-kanak generasi sekarang lebih kenal dengan permainan dalam talian seperti Mobile Legend, PUBG, Clash of Clans, Roblox dan banyak lagi. Malah, orang dewasa dan golongan profesional pun melayan game ini juga.

Kalau Ambo sebut nama permainan Contra, Super Mario, Circus Charlie, Road Runner, Mappy, Dig Dug, Battle City, Ice Climber dan Macross, mungkin terpinga-pinga budak-budak zaman sekarang.

Itulah permainan video zaman Ambo kanak-kanak dulu. Dahulu, rumah siapa yang ada game ni, kira dianggap orang kaya. Sebab nak beli permainan video ni bukan murah. Mahal. Masa ni video pakai tape lagi dan disambung ke TV.

Lepas itu, tengok brand juga. Kalau Nitendo, memang mahal. Kalau yang lain mungkin murah sikit. Ambo kalau nak main game ni selalu pergi ke rumah emak saudara Ambo. Sebab rumah dia saja yang ada. Dia pun orang kaya. Tak pun Ambo pergi ke rumah kawan.

Kalau main benda ni, sampai ke petang pun boleh. Menghadap je depan TV. Tapi kena berebutlah. Sebab ramai tunggu turn. Tak pun letak peraturan, sekali kalah kena tunggu giliran lain. Itu pun ada juga yang tak nak bagi. Terjadilah adegan saling merajuk sampai cabut tape permainan tu.

Masa tu mana ada komputer atau game online. Semua pakai permainan jenis tape ni. Tape pun bukan murah harganya. Ada yang mencecah ratusan ringgit. Paling murah pun RM59 juga lah kalau tak silap Ambo.

Paling best di tape tulis ‘999 in one’. Atau ‘1001 in one’. Harga dia pun mahal. Tapi bila balik, hampeh! Hanya ada lima atau enam game jer kat dalam tu. Yang banyak tu level jer yang berbeza. Kalau kata Contra, ada level satu, level dua, level tiga. Kita boleh lompat terus ke level mana kita nak. Ingatkan dalam tape tu ada 900 jenis game.

Kalau hari minggu, memang permainan ini lah yang dihadap daripada pagi sampai petang. Ia menjadi kegilaan budak-budak dulu. Ambo ingat lagi. Kalau di kampung Ambo, hanya dua rumah sahaja yang ada permainan video ni. Satu kat rumah Manaf, satu lagi kat rumah Yusri.

Petang-petang, memang penuh budak-budak kat rumah mereka berdua ni. Kena cepat. Kalau lambat dah tak boleh main sebab ramai yang sudah menanti. Ada juga yang lepas balik mengaji tengah hari tu, terus pergi ke rumah Yusri atau Manaf sebab nak ambil giliran. Sampai macam tu sekali.

Ada juga yang sampai berebut. Siap buat senarai nama siapa yang sampai dulu. Masuk pukul 5.00 petang terus keluar rumah pergi ke rumah Manaf. Kalau nampak rumah Manaf dah ramai, berlari pula pergi ke rumah Yusri. Kalau dah ramai sangat, memang petang tu main bola je la. Tak payah tunggu, memang tak dapat giliran.

Disebabkan sambutan yang menggalakkan, Manaf dan Yusri kenakan caj, 15 minit, RM1. Masa peraturan baru ni dibuat, barulah tak ramai orang. Ada yang sanggup kongsi duit dengan kawan, 50 sen seorang dan pergi main. Duit belanja sekolah simpan, sebab petang nanti nak main game. Siap ada pakej dengan air oren sekali. Pergh! Memang buat duit lah mereka.

Ada pula yang buat tempahan masa dari sekolah lagi tu. Ambo pukul 4.30 petang, kawan Ambo 4.45, yang lain pukul 5.00 dan begitulah seterusnya. Lepas tu kena pergi awal. Kalau lambat, cukup masa dah habis. Nanti orang giliran seterusnya bising.

Game yang paling Ambo suka masa tu ialah Contra. Kalau dah mati, boleh curi nyawa kawan. Itu yang selalu bergaduh. Nyawa seorang pemain diberikan 3 kali. Kalau tiga kali mati, dah tak boleh main. Kena tunggu member kalah dulu baru boleh main baru. Kalau main dengan member yang pandai, memang jenuhlah nak menunggu. Itu yang buat-buat tertekan dan kita boleh ambil nyawa dia dan main sekali lagi. Itu yang selalu bergaduh.

“Kau main tak pandai, lepas tu curi nyawa aku.” Kata-kata yang sering diungkapkan kalau kawan curi nyawa. Hehehe…

Sebab itulah kalau main dua orang, bila seorang dah kalah, terus ambil joystick dia dan simpan bawah lutut. Kalau tak, dia akan tekan curi nyawa. Ingat tu. Itu adalah petua supaya kawan tak curi nyawa.

Satu lagi permainan video ni, kalau terlampau kerap main, TV pun mudah rosak. Satu lagi, gelombang video tu akan menangkap ke TV rumah sebelah. Betul. Rumah Ambo dan rumah Manaf tak jauh. Kalau rumah Yusri tu jauh sikit.

Pernah beberapa kali sewaktu Ambo sedang menonton TV dekat rumah, tiba-tiba terdengar suara permainan Super Mario di TV rumah Ambo. Lepas tu gambar akan jadi bergegar. Kalau kita cuba cari siaran lain, keluar game tu kat TV rumah Ambo.

Bukan rumah Ambo jer, rumah jiran lain pun sama. Televisyen dulu hebat tangkap gelombang. Kalau sebelah malam, orang bergayut dalam telefon pun kadangkala TV dapat tangkap. Betul tak? Siapa pernah dengar orang bergayut dalam telefon melalui TV?

Tapi, permainan ni semua dah berlalu. Ia berubah mengikut peredaran zaman. Selepas permainan video, permainan dalam komputer pula yang popular. Semua beralih kepada komputer. Dan sekarang ni semua permainan hanya melalui telefon sahaja.

Dunia semakin canggih dan terus berkembang. Tetapi, memori lalu tetap terpahat menjadi kenangan indah sebagai satu kesinambungan dalam meneruskan perjalanan hidup.

Catatan : Ambo, Kota Bharu, Kelantan.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This