APABILA kita bercerita mengenai nostalgia, tentunya ia akan menggamit kembali ingatan kepada peristiwa-peristiwa yang membuatkan kita tersenyum sendiri.
Ada juga nostalgia lama yang membuatkan kita sedih ketika itu, tapi apabila teringat kini, ia menjadi satu perkara lucu. Tidak kurang juga apabila terkenang kembali kenangan bersama kawan-kawan lama. Tapi kini, ada antara kawan-kawan yang ada dalam kenangan itu dahulu telah pulang menghadap Ilahi. Al-Fatihah untuk mereka.
Ambo nak cerita satu perkara, kira misteri zaman sekolah dulu. Ada sesiapa masih ingat tak dengan daun setawar? Apa yang misteri tentang daun ini?

Zaman Ambo kecil dulu, daun ni kira macam misterilah. Pokok setawar ni cantik dan biasanya ia dijadikan pokok hiasan. Daunnya lebar-lebar. Pokok ni selalu ada di kawasan sekolah. Biasanya ia ditanam di laman sains.
Apa yang misteri daun ini? Misteri daun ini ialah apabila diletakkan di dalam buku, daunnya akan mengeluarkan akar-akar kecil di hujungnya. Kira peliklah. Ambo rasa budak zaman sekarang pasti ramai tak kenal daun ni. Maklumlah, ia permainan budak-budak dulu.
Waktu dulu, bila dapat jer daun setawar, terus selit dalam buku atau kamus. Biarkan beberapa hari di situ dan daun itu akan tumbuh akar-akar kecil di hujung daun. Kalau dah jadi, dengan bangganya tunjuk kepada kawan-kawan. Mereka pun bukan main teruja tengok. Kira magic lah kan?
Ambo ingat lagi, dulu benda tu siap buat pertandingan lagi. Tengok daun siapa paling cantik. Waktu rehat, menyelinap masuk ke laman sains semata-mata nak ambil daun setawar ni. Pernah sekali waktu Ambo dan dua orang kawan masuk nak ambil daun setawar, kami ditangkap oleh cikgu.
“Kamu buat apa ni?” sergah cikgu.
“Buat magic cikgu,” balas kawan Ambo.
“Ooo… buat magic yer. Cikgu pun ada magic. Mari ikut cikgu!” arah cikgu tu.
Nak tahu apa magicnya? Betis kami disebat dengan pembaris warna kuning tu. Terloncat-loncat kami bertiga dibuatnya.
Itu misteri pertama. Misteri kedua adalah membela bulu ayam. Siapa pernah buat? Kalau tak pernah buat, kira tak penyayang lagilah. Hahaha…

Orang yang penyayang jer boleh buat perkara begini. Tapi bulu ayam ni pun ada magicnya sendiri juga. Bulu ayam ini kalau disimpan dalam buku, bulu ini juga akan ‘beranak’. Itu istilah yang kami gunakan zaman sekolah dulu. Tapi bulu ayam ni kena bagi ‘makan’. Kalau tak, dia tidak tumbuh. Makanan dia apa? Makanan dia ‘bedak’. Hehehe…
Padahal kalau tak letak bedak pun dia tetap akan tumbuh bulu-bulu baru. Tapi budak-budak biasalah, percaya dengan cerita orang-orang tua daripada kita. Kata mereka, kalau nak simpan bulu ayam dalam buku, kena bagi makan. Nanti dia mati. Kalau dia mati, dia jadi hantu dan kacau kita balik. Itu yang kalau simpan bulu ayam kena letak bedak banyak-banyak. Bagi bulu ayam tu makan.
Bulu ayam ni pun ada cerita juga. Dulu kat sekolahkan ada rotan bulu ayam tu. Setiap kelas ada satu. Salah satu fungsi bulu ayam tu adalah untuk bersihkan habuk. Fungsi kedua, ia juga boleh dijadikan senjata utama cikgu nak rotan kami semua. Dan faedah yang ketiga, untuk kamilah. Bela bulu ayam dalam buku.
Masa tengah gila bela bulu ayam ni, pantang tengok ada bulu ayam, mesti akan ambil dan simpan. Hingga dah penuh setiap helaian buku. Kawan Ambo pula dia simpan bulu ayam dalam buku latihan. Buku tu agak tebal. Ambo pula simpan dalam buku teks.
Satu hari, cikgu minta kami semua menghantar buku latihan. Waktu tu dia dah gelabah. Mana tidak, ada banyak bulu ayam dalam buku tu. Bulu ayam tu pula dia masih belum sempat letakkan bedak.
“Macam mana ni? Cikgu dah ambil buku aku. Bulu ayam ada dalam tu. Aku tak sempat nak letak bedak,” kata kawan Ambo.
“Habislah kau. Kalau dia tak dapat makanan, dia mati. Mesti hantu bulu ayam akan kacau kau,” kata Ambo.
Waaaaaa… Terus dia menangis. Ye lah. Mahu tak takut dengan hantu bulu ayam. Lepas kejadian tu, dia tak berminat dah nak bela bulu ayam.
Satu lagi perkara ajaib zaman kanak-kanak dulu ialah bermain dengan mentadak-mentadu. Kalau di Kelantan, kami panggilnya, ‘Pok Sudu Seno’.

Huh! Kalau dapat mentadak ni memang tak kering gusi dibuatnya. Ini pun kira satu perkara misteri. Dapat jer tangkap, simpan dalam botol dan letak dalam meja. Elok jer cikgu keluar kelas, letak mentadak atas meja lepas tu semua kwan-kawan datang hurung.
“Mentadak-mentadu macam mana Ambo tidur?”
Mentadak-mentadu akan buat macam-macam aksi. Kami semua akan ketawa melihat aksi mentadak itu.
Pernah satu ketika, waktu tu cikgu tengah mengajar. Perlahan-lahan kawan Ambo keluarkan mentadak dari mejanya. Perlahan-lahan dia berkata.
“Mentadak-mentadu macam mana Cikgu Suraya tidur?” soalnya.
Mentadak terus beraksi. Dia terkekek-kekek gelak sendirian. Waktu tu dia tak perasan yang cikgu berada betul-betul di belakang dia.
“Oh! Mentadak-mentadu yer. Ni cikgu nak tanya pula. Mentadak-mentadu, macam mana nak ajar budak yang nakal ni?” soal cikgu. Mentadak terus membuat aksinya.
“Awak nampak tak dia buat macam orang kena tarik telinga,” kata cikgu sambil menarik telinga kawan Ambo. Hahaha…
Itulah permainan budak-budak dulu-dulu. Walaupun kita nampak permainan tu macam tak berguna, tapi itulah kegembiraan kanak-kanak zaman dulu. Dan perkara itu menjadi satu perkara yang menyeronokkan.
-Ambo, Kota Bharu, Kelantan.
_____

