2 universiti terkemuka Pontianak jalin kerjasama dengan Kolej UNITI Port Dickson

Dari Penulis

KOLEJ UNITI Port Dickson secara rasmi bakal menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan pelaksanaan program kursus jangka pendek serta latihan industri bersama dua buah universiti terkemuka di wilayah Kalimantan Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, kerjasama strategik berkenaan melibatkan universiti awam tertua di Kalimantan Barat, Universitas Tanjungpura dan Universitas Muhammadiyah Pontianak, yang merupakan salah satu daripada 178 institusi pendidikan tinggi (IPT) Muhammadiyah di seluruh Indonesia.

Katanya, kerjasama tersebut turut memberi peluang kepada Kolej UNITI Port Dickson melaksanakan program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar serta pertukaran pelajar dalam bidang berkaitan bersama kedua-dua buah universiti berkenaan.

“Kolej UNITI Port Dickson yang merupakan IPT pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian halal secara formal, Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013 akan berkongsi pengalaman seterusnya membantu kedua-dua universiti itu melahirkan lebih ramai sumber manusia bagi memenuhi keperluan industri halal tempatan.

“Selain itu, kerjasama ini turut melibatkan program mobiliti, pertukaran pelajar antara institusi dan kerjasama dalam proses pengambilan pelajar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dokumen persetujuan persefahaman yang dianjurkan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) malam semalam.

Pada majlis itu, Amir Hamzah mewakili Kolej UNITI Port Dickson dan Universitas Muhammadiyah Pontianak diwakili Rektor, Dr. Doddy Irawan manakala dokumen Universitas Tanjungpura ditandatangani oleh Timbalan Rektor, Perancangan dan Kerjasama, Dr. Ir. R.M. Rustamaji.

Amir Hamzah (tiga dari kiri) dan Doddy bersama-sama Timbalan Rektor 1 Universitas Muhammadiyah Pontianak, Dr. Ir Eko Dewantoro (dua dari kiri) dan Ketua Pejabat Hubungan Antarabangsa, Ufi Ruhama’ (dua dari kanan) pada majlis menandatangani persetujuan persefahaman di Pontianak semalam.

Hadir menyaksikan penyerahan dokumen persetujuan persefahaman itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin; Konsulat Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abd Rahim dan Ketua Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kalimantan Barat, Rita Hastarita.

Menurut Amir Hamzah, sejak 2022 lalu Kolej UNITI Port Dickson telah menjalinkan kerjasama dengan Institut Pertanian Bogor (IPB) University di Bogor, Jawa Barat dan hubungan strategik bersama universiti antara yang terbaik di Indonesia itu telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam bidang berkaitan halal.

“Pemilihan Kolej UNITI Port Dickson yang merupakan Penyedia Latihan Halal yang mendapat perakuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, sebagai rakan strategik IPB University dua tahun lalu dan dua universiti terkemuka di Pontianak pada hari ini merupakan satu pengiktirafan besar yang cukup bermakna.

“Sejak sedekad lalu, Kolej UNITI melalui Pusat Kecemerlangan Halal UNITI (UHAC) telah melahirkan ribuan graduan bidang halal termasuk lebih 20 orang dari Indonesia. Kita juga sehingga ke hari ini sudah melatih eksekutif-eksekutif halal kompeten yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Ketika ini, kampus Universitas Tanjungpura yang terletak di pusat bandar Pontianak menempatkan kira-kira 35,000 orang mahasiswa manakala lebih 5,000 pelajar sedang melanjutkan pengajian di Universitas Muhammadiyah Pontianak dalam pelbagai bidang.

Dalam pada itu Novie berkata, persetujuan persefahaman membabitkan institusi pendidikan tinggi di kedua-dua buah negara telah mempamerkan satu anjakan dalam sektor pengajian tinggi sekali gus melambangkan kerjasama erat serumpun.

“EMGS berharap ia menjadi model kepada institusi pengajian tinggi lain untuk meneroka kerjasama seumpama seterusnya berusaha memperkasa pendidikan tinggi di kedua-dua buah negara,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Lelaki maut ditikam rakan, mayat dihumban dalam pembetung

SEORANG lelaki maut akibat ditikam rakan di kawasan tapak pembinaan di belakang sebuah bilik pameran kenderaan di Iramanis, Kota...

More Articles Like This