IBU bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun, pada Disember tahun lalu.
Zaim Ikhwan Zahari yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira Abdul Manaf berbaju merah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di Petaling Jaya, pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala pembelaan oleh peguam, Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat.
Semalam, ibu Zayn Rayyan tidak membuat pengakuan bersalah di hadapan majistret Mahkamah Petaling Jaya dalam satu prosiding tertutup semalam.
Sebaliknya wanita itu hanya memberi keterangan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Pada Jumaat lalu, ibu bapa Zayn Rayyan disambung reman bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.
Pada 31 Mei, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, pada pukul 10.05 pagi, bagi membantu siasatan polis berkaitan kes pembunuhan anak pasangan itu.
Penahanan pasangan suami isteri itu mengikut maklumat risikan dan siasatan sejak hari pertama kejadian itu berlaku iaitu pada 6 Disember tahun lalu.
Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai pada sekitar pukul 12.30 tengah hari selepas pulang dari sekolah.
Kehilangan Zayn Rayyan itu membuatkan kumpulan penduduk di kawasan apartmen berkenaan mengaktifkan operasi mencari.
Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mengiring berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya pada keesokan harinya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.
Kes itu diklasifikasi bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

