IBU bapa Zayn Rayyan terpaksa menyambut ulang tahun perkahwinan mereka di dalam lokap selepas ditahan polis pada 31 Mei lalu bagi membantu siasatan kes kematian melibatkan anak sulung mereka.
Perkara ini dikongsikan oleh Peguam Fahmi Abd Moin ketika ditemui media di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya hari ini.
“5 Jun lalu merupakan ulang tahun perkahwinan bagi Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, namun mereka terpaksa menyambut di dalam lokap.
“Kebiasaannya pada setiap tahun mereka akan menyambut bersama keluarga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, datuk dan nenek Zayn Rayyan telah dibebaskan selepas 24 jam dengan jaminan polis pada pukul 2.30 petang tadi
Katanya, datuk dan nenek ditahan bagi memberikan keterangan berkaitan kematian Zayn Rayyan.
“Mereka diminta lapor diri ke Ibu Pejabat Daerah setiap bulan.
“Saya percaya mereka akan memberikan kerjasama yang baik dengan polis bagi mencari siapakah pembunuh sebenar Allahyarham Zayn Rayyan,” ujarnya.
Sementara itu, Zahari Mohd Reba,56, memaklumkan beliau dilayan dengan baik oleh pihak polis ketika dalam tahanan.
“Mereka sangat profesional. Makan dan minum kami dijaga dengan baik.
“Saya nak balik berehat, mahu berjumpa keluarga.
“Adik arwah setiap petang akan selak pintu rumah, tengok bila mummy dan daddy mahu balik,” katanya.
Terdahulu, ibu bapa Zayn Rayyan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap seorang.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf telah dihadapkan atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan.
Pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di Petaling Jaya, pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember.
Semalam, ibu Zayn Rayyan tidak membuat pengakuan bersalah di hadapan majistret Mahkamah Petaling Jaya dalam satu prosiding tertutup semalam.
Sebaliknya wanita itu hanya memberi keterangan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Pada Jumaat lalu, ibu bapa Zayn Rayyan disambung reman bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.
Pada 31 Mei, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, pada pukul 10.05 pagi, bagi membantu siasatan polis berkaitan kes pembunuhan anak pasangan itu.
Penahanan pasangan suami isteri itu mengikut maklumat risikan dan siasatan sejak hari pertama kejadian itu berlaku iaitu pada 6 Disember tahun lalu.
Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai pada sekitar pukul 12.30 tengah hari selepas pulang dari sekolah.
Kehilangan Zayn Rayyan itu membuatkan kumpulan penduduk di kawasan apartmen berkenaan mengaktifkan operasi mencari.
Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mengiring berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya pada keesokan harinya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

