PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menyokong penuh syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) agar penjawat awam yang terlibat dalam salah laku dan rasuah diberhentikan kerana budaya ‘menyimpan’ pegawai bermasalah hanya akan merosakkan integriti agensi penguatkuasaan.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, bagaimanapun, menurut akta, EAIC tidak mempunyai kuasa untuk memberhentikan penjawat awam secara langsung tetapi hanya boleh mencadangkan kepada agensi terlibat untuk mengambil tindakan tatatertib di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam.
“Tindakan ini terpulang kepada Lembaga Tatatertib agensi yang boleh memilih untuk membuang kerja, menurunkan pangkat, atau mengambil tindakan lain yang difikirkan wajar,” kata beliau dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya hari ini.
Katanya, menyingkirkan penjawat awam yang tidak berintegriti dapat memberikan mesej jelas bahawa kerajaan tidak bertolak ansur dengan sebarang perbuatan salah laku dan keadan ini akan membantu mengurangkan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa di masa hadapan serta memperbaiki imej perkhidmatan awam.
“Selain daripada tindakan pemberhentian, usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai integriti dan etika kerja perlu dipertingkatkan, sementara penjawat awam harus diberi latihan berkala untuk memahami kepentingan integriti dalam tugas mereka,” katanya.
Jais berkata, syor itu juga perlu disertai dengan penguatkuasaan berterusan dan pemantauan yang rapi kerana sistem pemantauan yang efektif perlu diwujudkan untuk memastikan bahawa sebarang pelanggaran dapat segera dikesan dan diambil tindakan.
“MCW juga menekankan kepentingan ketelusan dan akauntabiliti dalam proses pemberhentian ini. Semua tindakan perlu dilakukan secara telus untuk mengelakkan sebarang salah faham atau tuduhan tidak adil.
“Pemberi maklumat yang melaporkan salah laku penjawat awam ini juga perlu diberikan perlindungan yang mencukupi. Ini akan menggalakkan lebih ramai tampil ke hadapan dan melaporkan sebarang kesalahan tanpa rasa takut akan tindakan balas,” tambahnya.
Secara keseluruhannya, katanya, MCW percaya bahawa langkah itu adalah langkah yang berani dan amat diperlukan dewasa ini untuk memperkukuh integriti dalam perkhidmatan awam. dan integriti adalah asas kepada keberkesanan dan kepercayaan terhadap mana-mana institusi, dan tindakan tegas adalah kunci untuk mencapainya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

