POLIS akan menjalankan siasatan berhubung penyebaran maklumat yang didakwa merupakan laporan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin seperti yang ditularkan di telegram Edisi Siasat semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, MCMC bagi mengesan mereka yang terlibat, lapor Buletin TV3.
“Ia adalah perkara yang perlu dilakukan, samada pihak MCMC berkemampuan itu saya tidak pasti.
“Kami akan siasat apa yang telah dikeluarkan dalam konteks Edisi Siasat itu dan ingin saya katakan sekali lagi segala perkara yang melibatkan siasatan ini harus datang dari pihak yang rasmi.
“Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesiapa sahaja yang kita kesan kemudian, kerana dia boleh mengganggu perjalanan perbicaraan itu.
“Kita akan menyiasat sepenuhnya. Sesiapa yang kita kenal pasti, saya tidak teragak-agak langsung kerana segala penat jerih rakan-rakan boleh tergugat dengan perkara itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mengganggu perbicaraan bagi menegakkan keadilan terhadap Zayn Rayyan serta memberi kesan kepada semua pihak termasuk pihak pendakwaan, pembelaan dan keluarga.
Mengulas mengenai kenyataan peguam Fahmi Abd Moin yang mendakwa siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih dijalankan sehingga pelaku sebenar ditahan, beliau berkata siasatan telah selesai sejurus pendakwaan terhadap ibu bapa mangsa di mahkamah semalam.
“Seperti yang saya katakan semalam, bahagian kita dalam menyiasat kes itu telah diakhiri dengan pendakwaan ibu bapa Zayn Rayyan.
“Sekiranya ada pendedahan baharu semasa prosiding perbicaraan dan Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan kami menyiasat lebih lanjut, kami akan berbuat demikian,” tambahnya.
Mohd Shuhaily berkata, tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor yang kini menjaga adik Zayn Rayyan, itu adalah tanggungjawab undang-undang dan moral untuk berbuat demikian.
“Saya rasa dengan pertuduhan 31 (1) itu pihak JKM melihat ini pandangan saya ya, melihat akan perlunya mereka menilai kedudukan anak yang kedua itu. Itu adalah tanggungjawab undang-undang dan moral daripada pihak JKM,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

