DUA pengarah syarikat masing-masing didenda RM5,500 dan RM2,500 atas pertuduhan memiliki dengan tujuan untuk menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui iaitu walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan Wireless Adapter pelbagai jenama.
Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Tuan Amir Shah Amir Hassan telah membuat keputusan itu selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) tersebut mengaku bersalah bagi pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
OKS pertama seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual lima unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan enam unit Wireless Adapter pelbagai jenama di Lintas Plaza, Kota Kinabalu pada 11 Oktober 2023.
Manakala OKS kedua pula seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun didakwa atas satu pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S di Sinsuran Complex, 88000 Kota Kinabalu pada tarikh yang sama.
Bagi kesemua pertuduhan tersebut, OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan mengingatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.
“Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk penggunaannya yang boleh mendatangkan impak negatif kepada pengguna.
“Sebagai contoh, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh mengakibatkan gangguan kepada rangkaian telekomunikasi, kualiti perkhidmatan dan akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain.
“Selain itu, kelengkapan komunikasi tidak diperakui mungkin tidak berfungsi dengan baik dan mengakibatkan kualiti perkhidmatan yang rendah dan ketidakpuasan pengguna.
“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi ‘MCMC Check Your Label’ untuk menyemak status pemerakuan sesebuah kelengkapan komunikasi sebelum membeli dan menggunakannya,” jelas kenyataan tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

