SERAMAI 13 individu termasuk empat kakitangan bank ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap sebuah bank melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohamed Ramli Yoosuf berkata, 13 individu yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita berusia 22 hingga 53 tahun.
“Daripada jumlah itu, 12 orang ditahan di Sabah dan seorang ditahan di Perlis. Empat daripada mereka yang ditahan pula adalah kakitangan bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata, 11 individu direman sehingga Jumaat ini, seorang lagi direman sehingga esok manakala seorang individu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata, siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada 16 Jun lepas, media melaporkan polis menahan seorang lelaki disyaki dalang sindiket yang terbabit dalam kes mengeluarkan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.
Penahanan lelaki berusia 40-an di Sabah pada Jumaat lepas itu dibuat setelah polis menahan seorang wanita yang juga kakitangan sebuah bank di Kota Kinabalu, Sabah pada 13 Jun.
Ramli berkata, siasatan menunjukkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang kerana ia hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman bank.
Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.
Ramli berkata, pihaknya percaya lebih banyak lagi individu terbabit dalam sindiket pakatan jenayah berkenaan sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

