CUBAAN kira-kira 120 penduduk di Desa Melor, Serendah bergotong-royong untuk ‘mengangkat’ dan memindahkan sebuah rumah tradisional Melayu di kawasan berkenaan, pagi tadi menemui jalan buntu.
Walaupun berhempas-pulas selama lebih tiga jam, namun cubaan ‘mengangkat’ rumah pusaka itu setakat ini gagal dan terpaksa disambung minggu hadapan.
Pemilik rumah berkenaan, Jonid Ahmad, 73, berkata, pada asalnya, rumah tersebut adalah kediaman keluarga yang dibina pada tahun 1945 di Jalan Temenggung Ahmad, Muar dan ‘dipindahkan’ ke Serendah apabila beliau berpindah ke kawasan itu.
Beliau berkata, rumah pusaka yang berkeluasan 40 x 40 kaki itu terpaksa dialihkan untuk memberi laluan kepada pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Jonid memaklumkan, beliau masih mahu menjaga struktur asal rumah tersebut berbanding merobohkannya kerana menyimpan kediaman itu pelbagai kenangan masih sejak kecil.
“Rumah ini sudah melalui pelbagai peristiwa bersejarah negara dan juga sejarah keluarga selama empat generasi.
“Ia telah menjadi pusat kami sekeluarga berkumpul untuk majlis keluarga. Dari hari raya, perkahwinan, kenduri dan kini menjadi rumah tradisi bagi cucu-cucu saya.
“Rumah ini juga berpindah bersama ahli keluarga – awalnya di Muar, Johor dan kini masih bersama kami di Serendah, Selangor,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.
Baca artikel lain: ‘Saya nampak bumbung jatuh timpa kereta’ – Penduduk Apartmen Putra Ria
Sementara itu, Jonid turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Pemilik dan Penduduk Desa Melor atas kesudian dan sanggup meluangkan masa untuk bersama-sama bergotong-royong membantu ‘mengangkat’ rumah tersebut.
Namun begitu, beliau berkata, terpaksa kembali ke drawing board kerana masih banyak pengiraan dan kejuruteraan yang perlu diperincikan bagi tujuan berkenaan.
“Saya amat berbesar hati dan tidak menjangka masyarakat sekeliling akan datang terutama saudara-mara yang hadir dari Johor.
“Bagaimanapun, saya terpaksa melengkapkan tugas besar ini secepat mungkin kerana jentera ECRL sudah pun memasuki tanah saya untuk meruntuhkan kawasan tinggal kami,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk Desa Melor, Azhar Paat berkata, proses perancangan pengalihan itu telah pun bermula sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, walaupun hanya perlu mengalihkan sejauh beberapa meter sahaja, namun ia masih memerlukan tenaga yang ramai.
“Selain membantu pemilik rumah, program ini juga mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara penduduk di sini.
“Lagi pun, program sebegini jarang berlaku terutama di Selangor ini. Mungkin usaha ‘angkat rumah’ ini pernah diadakan tapi bukan di sini. Jadi kami mahu menjalinkan ukhwah yang lebih baik antara penduduk.
“Kita hargai pengorbanan semua pihak yang bersusah payah tetapi kita masih memerlukan lebih ramai untuk turun bersama-sama mengalihkan rumah ini. Hari ini, seramai 120 orang yang datang, kita masih tak mampu untuk mengalihkannya,” katanya.
Azhar turut berharap lebih ramai penduduk di kawasan sekitar Desa Melor untuk turun membantu mengalihkan rumah itu minggu hadapan.
“Ada juga cadangan supaya kita gunakan kren berbanding tenaga manusia, namun ia hanya akan merosakkan struktur rumah sedia ada.
“Kita berharap lebih ramai penduduk dapat bersama-sama bergotong-royong dan jadikan perkara ini sebagai kenangan manis,” katanya.
Bermula kira-kira pukul 9 pagi, kawasan kediaman tersebut meriah dengan aktiviti gotong-royong bagi ‘mengangkat’ rumah itu sejauh kira-kira 30 meter.
Usaha tersebut turut disertai Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun.
Bagaimanapun, selepas kira-kira tiga jam, rumah yang sering menjadi tumpuan sekitar penduduk Desa Melor ketika waktu Hari Raya Aidilfitri untuk mengambil gambar itu hanya boleh diangkat selama beberapa saat tetapi tidak dapat dialihkan.
Pelbagai usaha dilakukan termasuk melaungkan azan, namun masih gagal.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

