Pelakon, Raja Afiq yang pernah popular dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz kini kembali menghiasi kaca televisyen dalam sebuah drama kepolisan berjudul Polis Peronda.
Dalam satu temu bual di sidang media Polis Peronda di Sri Pentas baru-baru ini, Raja Afiq atau nama lengkapnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali,29, mengakui kini kurang mendapat tawaran berlakon.
Menurutnya, kekurangan kontroversi mungkin menjadi faktor mengapa dia jarang muncul di layar kaca.
“Selepas drama Polis Peronda ini, saya belum dapat apa-apa tawaran berlakon. Saya rasa mungkin pihak produksi belum perasan saya.
“Sebelum ni saya dah keluar article yang saya bukan pekerja tetap di bank tapi tetap orang tidak ambil, jadi saya tidak tahu kenapa.
“Alhamdulillah, Datuk Yusof Haslam beri tawaran kepada saya untuk berlakon dalam Polis Peronda dan saya sangat berterima kasih,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dunia hiburan masa kini lebih pentingkan kontroversi melebihi bakat pelakon.
“Mungkin zaman sekarang ni nak ke depan kena ada kontroversi. Kalau baik tak apa, kalau buruk saya tak nak sebab sekali kita ada kontroversi ni sampai bila-bila ada tulis di internet.
“Jadi, bila buka je laman sosial, keluar semua keburukan nanti. Saya faham ada kekurangan dan kelebihan sekiranya ada kontroversi ni. Tapi pendapat saya, zaman sekarang ni kita tengok kontroversi ke depan, bakat dilupakan.
“In shaa Allah saya tidak akan cipta kontroversi. Kalau boleh saya nak tonjolkan diri saya kedepan dengan cara lakonan yang baik,” ujarnya.
Untuk rekod, sebelum ini Raja Afiq pernah bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat perbankan susulan tiada tawaran berlakon pada waktu itu.
Polis Peronda, drama terbitan Skop Productions akan ditayangkan di TV3 bermula 28 Jun ini.

