KUMPULAN Insomniacks nampaknya tidak mengenal erti putus asa. Sejak kemunculan awal mereka dahulu, kumpulan ini terus mengukuhkan nama mereka dalam industri muzik tempatan.
Kini mereka melebarkan sayap lagi ke negara jiran selepas bekerjasama dengan bintang dari seberang yang semakin meningkat naik iaitu Nabila Taqiyyah melalui lagu Belum Mulai.
Nabila merupakan bekas naib juara rancangan realiti tersohor Indonesia iaitu Indonesian Idol musim ke-12 yang ditayangkan di stesen TV RCTI pada 2022-2023.
Belum Mulai ditulis dan dikompos oleh beberapa entiti berbakat iaitu Clara Riva dan S/EEK.
Lagu ini mempunyai nuansa muzik kumpulan kugiran era 2000-an. Lagu dan video muziknya mengisahkan seseorang yang terpaksa melepaskan seseorang yang sebenarnya belum sempat menjalin hubungan cinta dengannya.
Apa yang menakjubkan adalah sedutan lagu ini yang dikeluarkan pada 12 Jun telah mendapat lebih 850,000 tontonan di laman sosial Instagram dengan lebih 1,700 komen.
Ini diikuti dengan 730,000 tontonan bersama 1,700 lebih komen lagi saat pendedahan rekaan muka depan lagu disiar di laman Instagram pada tarikh 20 Jun.
Pra-pelancaran lagu ini telah dibuat pada 20 Jun manakala pelancaran penuh diadakan pada 28 Jun lalu bersama video muziknya yang ditayangkan di YouTube Insomniacks.
Lagu ini telah dirakam di Jakarta pada bulan Mac dan penggambaran video muzik telah dilakukan pada bulan Mei.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

