Berunding kekalkan keamanan,  bukan conteng merdeka di jalanan

Dari Penulis

ANALISIS

PADA 3 April 1944, ulama terkemuka Pattani, Haji Sulong Al-Fatani atau nama penuh Sulong Abdul Kadir telah menyerahkan surat kepada Kerajaan Siam menuntut 7 perkara iaitu:

  • Seorang ketua beragama Islam bagi empat buat wilayah dipiilih oleh anak negeri dengan diberikan kepadanya kuasa penuh.
  • Mengadakan matapelajaran Bahasa Melayu pada setiap sekolah bagi kanak-kanak berumur tujuh tahun sebelum mereka belajar bahasa Siam atau matapelajaran lain dalam bahasa Siam.
  • Hasil yang diperolehi dari empat wilayah itu hendaklah dibelanjakan  di wilayah itu sahaja.
  • 80 peratus daripada kakitangan kerajaan mestilah terdiri daripada orang Islam/ empat wilayah.
  • Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi.
  • Mengasingkan Mahkamah Syariah daripada pejabat Undang_undang negeri serta mengadakan Undang-Undang khas untuk memutuskan pendakwaan yang bersabit dengan hukum Islam.
  • Mengiktiraf rakyat empat buah wilayah itu berketurunan bangsa Melayu.

 Itulah 7 perkara yang diminta oleh Haji Sulong tidak ada sepatahpun di dalamnya  yang menuntut Pattani diberi kemerdekaan. 

 Menarik lagi, walaupun Allahyarham menubuhkan pertubuhan Islam di wilayah tersebut iaitu Pergerakan Melayu Pattani (Pattani Malay Movement -PMM) pada 1944 iaitu tiga tahun sebelum beliau membuat tuntutan 7 perkara itu, ia bukanlah bertujuan mahu memperjuangkan kemerdekaan untuk Pattani tetapi dengan  matlamat menggalakkan kerjasama antara pemimpin Melayu bagi menentang campur tangan kerajaan dalam cara hidup Islam.

 Ia lanjutan daripada tindakan pemerintah Thailand pada tahun itu (1944) melakukan tindakan tertentu yang menimbulkan kemarahan penduduk Melayu Pattani antaranya adalah penghapusan undang-undang Islam (Nikah dan Cerai) dan Warisan yang telah dilaksanakan sejak penyerapan kawasan Pattani pada tahun 1902.

 Oleh itu timbul persoalan,  siapa yang bertanggungjawab mencetuskan gerakan mahu memerdekakan Pattani. Kalaulah kemerdekaan mahu dituntut sudah pastilah Haji Sulong akan menjadi orang pertama yang memperjuangkan perkara itu dengan menyatakan dalam surat 7 tuntutan beliau.

 Tetapi beliau hanya membuat 7 tuntutan yang memfokuskan bagi memartabatkan bangsa Melayu, umat Islam Thailand dan mendaulatkan agama Islam. Walaupun ketika itu pemerintah Thailand tidak mengendahkannya, kesemua perkara itu dikatakan sudahpun di Selatan Thailand ketika ini, jadi kenapa wujud perjuangan mahu memerdekakan wilayah tersebut?

 Tuntutan kemerdekaan yang cuba diperjuangkan pun sekadar contengan di tembok-tembok atau di atas jalan raya di Selatan Thailand dan ‘lebih malang’ lagi, majoriti penduduk Islam di wilayah itu tidakpun menyokong tuntutan tersebut. Kalau benar mahukan kemerdekaan pasti mereka akan bersama-sama menyokong mana-mana puak pemisah, jika itu berlaku tentunya wilayah tersebut akan menjadi medan pertempuran sepertimana selayaknya dalam isu menuntut kemerdekaan.

Bagaimanapun ia tidak berlaku di Selatan Thailand kerana penduduk Islam dilihat lebih selesa untuk hidup dalam keadaan aman damai. Mereka mahu menjalani kehidupan dengan tenang bagi membolehkan mereka mencari rezeki demi sesuap nasi. Mereka tahu jika konflik berterusan dan keamanan tergugat keseluruhan penduduk Selatan Thailand akan menderita. Lagi pula ramai juga masih keliru siapa sebenarnya puak pemisah ini.

 Ia memandangkan  sementara satu kelompok yang mendakwa mewakili puak pemisah memilih meja rundingan damai untuk membuat tuntutan, ada pula puak lain yang berjuang menggantung kain rentang atau menconteng dinding dan jalan raya menuntut kemerdekaan. Dan pada sama ada satu lagi kelompok yang menggunakan cara kekerasan seperti membunuh anggota keselamatan termasuk yang beragama Isla, melakukan serangan bom dan membakar kemudahan awam.

 Walaupun dikatakan matlamat mereka sama iaitu untuk menuntut kemerdekaan, soalnya adakah penduduk Islam bersama mana-mana kumpulan itu? Kenapa mahu meletakkan wilayah yang dihuni majoriti umat Islam dalam keadaan huru hara?

 Kenapa tidak memilih meja rundingan bagi membuat sebarang tuntutan seperti mana pendekatan berhemah dilakukan oleh Allahyarham Haji Sulong yang menghantar surat kepada pemerintah Thailand? Penulis tidak menafikan fakta atau dakwaan bahawa mungkin pemerintah Thailand dahulu atau lebih dikenali sebagai kerajaan Siam kuku besi, kalau tidak mana mungkin Haji Sulong dan anak sulungnya dipercayai dibunuh oleh pihak polis ketika itu.

 Tetapi itu dahulu, sekarang pemerintah Thailand telah membuka pintu seluas-luasnya untuk berunding dan berusaha memberi layanan terbaik kepada penduduk Islam. Apa yang terkandung dalam tuntutan Haji Sulong banyak sudah dilaksanakan. Kalaulah pemerintah Thailand kejam, menindas umat Islam sudah pasti 15 duta dari negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak mengadakan lawatan rasmi di tiga wilayah di Selatan Thailand selama tiga hari bermula 11 Jun lalu..

 Sebaliknya kesemua duta itu datang kerana mahu mendapat gambaran lebih dekat dan dasar kerajaan dalam menyelesaikan konflik serta pembangunan di wilayah berkenaan dan sebagai manifestasi sokongan kepada penyelesaian konflik wilayah itu secara aman yang dilakukan oleh pemerintah Thailand. 

 Penyelesaian secara aman sudah tentulah melalui proses rundingan damai yang dijalankan dan bukannya dengan cara mengelirukan penduduk Islam di Selatan Thailand dengan perjuangan menuntut kemerdekaan oleh mana-mana puak pemisah.  Perlu ditegaskan disebabkan keamananlah Selatan Thailand menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia, disebabkan suasana amanlah penduduk Islam boleh mencari rezeki dan tidak menjadi pelarian di tanah air sepertimana dialami oleh rakyat Palestin.

 Oleh itu kalau benarlah puak-puak pemisah berjuang untuk kepentingan umat Islam di wilayah berkenaan, mereka sepatutnya berunding dengan pemerintah Thailand seperti mana penyertaan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dalam rundingan damai yang sedang berjalan.

Di meja rundingan itu buatlah apa sahaja tuntutan asalkan ia masih lagi dalam konteks Perlembagaan dan undang-undang Thailand serta benar-benar  demi kepentingan penduduk Islam  Selatan Thailand, bukannya ada agenda tersembunyi lain.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

LRT3 nadi mobiliti dua juta penduduk koridor barat Lembah Klang

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer memperkukuh jaringan rel di Petaling Jaya, Shah...

More Articles Like This