
LANGIT tidak selalu cerah memayungi kehidupan insan. Hidup ini ibarat pusingan roda. Ada masa di atas ada masa di bawah. Begitu juga perjalanan anak seni, tidak terkecuali. Ketika cemerlang di puncak disinari kegemilangan, sentiasa disanjung dipuja.
Ketika di bawah, terbiar membawa haluan hidup sendiri. Ada yang mampu meneruskan hidup dengan sempurna, terutama bagi yang beringat ketika di puncak. Seperti kata peribahasa ‘ingat sebelum kena jimat sebelum habis’.
Namun ramai yang tidak menghayati peringatan yang disimpulkan melalui peribahasa ini. Tidak ingat berjimat untuk masa hadapan apabila tidak lagi aktif dalam seni. Akibatnya terpaksa mengharungi kepayahan akibat tekanan hidup sehingga mengharap bantuan.
Ini adalah realiti dihadapi oleh insan seni. Masyarakat telah banyak didedahkan dengan kisah artis yang terjebak dengan kesusahan, tidak kira sama ada artis yang ‘top’ pada suatu ketika dahulu atau bukan. Jalur penderitaan yang dilalui sama sahaja.
Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, terdapat lebih 50 artis kini hidup susah. Kebanyakan mereka artis veteran yang tidak ada sumber pendapatan sedangkan kehidupan perlu diteruskan. Pelbagai komitmen seperti bil utiliti perlu dilangsai.
Tiada sumber pendapatan kerana ada artis tidak sihat atau kurang upaya, selain tiada tawaran kerja. Artis veteran pula kurang diberi perhatian oleh produser filem dan drama yang lebih mengutamakan artis muda yang ada nama. Jika artis veteran diambil pun, kadar bayaran biasanya rendah.
Freddie memberitahu, Karyawan berusaha membantu artis kurang bernasib baik dengan mengumpul dana melalui penganjuran majlis atau acara tertentu. Selain itu ia mengharap sumbangan pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan untuk mengisi kerana tabung Karyawan.
Ketiadaan sumber pendapatan menyebabkan rentetan pelbagai masalah. Antaranya tiada perbelanjaan harian, termasuk membayar bil, atau rawatan perubatan. Selain itu masalah tiada tempat tinggal atau melunaskan sewa kediaman.
Walau pun ‘ingat ketika langit cerah’ adalah peringatan sangat berharga, bukan sahaja untuk anak seni, kepayahan yang ditanggung oleh insan seni bukan semuanya akibat lalai atau lupa diri ketika berada di puncak kejayaan. Ini bukan kenyataan ‘blanket’ atau pukul rata.
Ini kerana ada sahaja anak seni beringat ketika di puncak dan kerana itu menyimpan bekalan mencukupi untuk meneruskan hidup seharian. Bekalan yang ada memudahkan perjalanan hidup, tidak sampai menyusahkan diri dan keluarga.
Tetapi hakikatnya bukan semua anak seni mampu mengumpulkan banyak harta kerana pendapatan yang diperoleh mungkin sekadar mencukupi untuk keperluan semasa. Ia juga banyak bergantung kepada tawaran berlakon atau menyanyi yang diterima.
Pelakon atau penyanyi yang berada pada kategori ‘top’ lebih sering mendapat tawaran kerja dengan bayaran yang bagus, berbanding yang tidak dalam kategori berkenaan. Dengan pendapatan yang baik, artis ‘top’ mampu banyak menyimpan jika beringat.
Namun bukan semua artis ‘top’ beringat untuk menyimpan. Begitu juga bukan semua yang tidak ‘top’ langsung tidak ingat menabung untuk hari muka. Jika tidak banyak upah kerja, beringat menyimpan sedikit demi sedikit. Lama-lama akan menjadi bukit. Kalau banyak pun tetapi tidak menyimpan bakal bermasalah di kemudian hari.
Hakikatnya, sikap sentiasa beringat sangat penting. Perlu sedar apa dikecapi dan diperolehi ketika masih laku di pasaran adalah bersifat sementara sebelum roda berpusing ke bawah. Oleh itu terjemahkan ingatan tersebut dalam bentuk simpanan untuk hari tua.
Tentu sedih mendengar pelbagai kisah kesusahan hidup artis. Setengahnya terpaksa memohon bantuan agensi kerajaan, persatuan dan sebagainya untuk sara hidup, membayar sewa rumah dan sebagainya. Malah sedihnya ada insan seni yang jadi gelandangan.
Bagi yang bernasib baik, mereka berpeluang menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) yang sewanya rendah. Ini sangat melegakan kerana ada tempat berteduh daripada hujan dan panas.
Kita boleh berbangga dan mengucap syabas kepada segelintir anak seni yang sekalipun dilanda kesusahan tidak merayu-rayu, sebaliknya tetap berusaha sendiri. Jika menerima bantuan sekalipun mereka berusaha menambah pendapatan melakukan kerja yang termampu.
Kerjaya artis bukan jawatan tetap yang ada gaji bulanan, atau ada pencen apabila bersara. Kerjaya mereka bermusim, lebih menjurus kepada ‘ada kerja ada gaji’. Seperti penoreh getah, jika musim hujan atau daun luruh tidak boleh menoreh. Jika ada tawaran, adalah kerja.
Jika tiada kerja, terutama untuk tempuh lama, tentu sahaja pendapatan terputus. Ketika Covid-19 melanda dahulu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), produksi filem dan drama terhenti. Tiada pendapatan bagi syarikat filem. Tempiasnya terkena kepada artis dan tenaga kerja.
Kerana itu penting ada jaminan pendapatan. Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Dr Md Nasir Ibrahim memberitahu, Finas mewajibkan kru produksi merangkumi artis, pelakon serta pekerja belakang tabir mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, ini termaktub dalam perjanjian antara Finas dengan penerima dana perbadanan itu. Caruman bakal menjadi bekalan yang boleh diguna pada hari tua sekiranya sudah tidak bergiat aktif dalam bidang masing-masing.
Setiap orang perlukan jaminan hidup. Masa hadapan tidak tahu apa yang menanti. Begitu juga dengan anak seni. Ini penting bagi mengelakkan persepsi bahawa insan seni hanya mengharapkan bantuan apabila susah. Seboleh-bolehnya kita tidak mahu lagi melihat ‘seniman menangis’.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

