PRESIDEN Filipina, Ferdinand Marcos Jr menjemput syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi di selatan Filipina.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, jemputan itu dibuat ketika kunjungan hormat Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke atas Marcos sempena lawatan rasminya ke Filipina pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menilai perkembangan positif di selatan Filipina.
“Mengambil kira potensi luas wilayah itu, Presiden menjemput syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi di Selatan Filipina,” menurut kenyataan itu.
Lawatan ini juga bersempena ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Filipina.
Baca artikel lain: Peniaga didenda RM10,000 miliki bahan al-Quran tanpa kelulusan KDN
Mohamad juga mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Enrique A Manalo.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak menekankan kepentingan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala terutamanya dalam sektor perdagangan, pelaburan, industri halal, kewangan Islam dan keterjaminan makanan.
Mereka turut membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, menekankan pentingnya perpaduan ASEAN dalam menangani isu-isu serantau serta keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera di Palestin, menurut Wisma Putra.
Filipina juga memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh kepada Malaysia sewaktu Kepengerusian ASEAN pada 2025.
Sementara itu, Mohamad mengulangi komitmen Malaysia untuk menyokong pembangunan sosio-ekonomi Bangsamoro menerusi program pembinaan keupayaan, termasuk Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Satu majlis resepsi sempena ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-60 juga diadakan dengan kehadiran kedua-dua Menteri Luar Negeri selaku tetamu kehormat.
Resepsi itu turut dihadiri Menteri-Menteri Kabinet Filipina, pegawai-pegawai kanan Kerajaan Filipina, diplomat asing, pemimpin perniagaan dan diaspora Malaysia.
- BERNAMA
- Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
- Ikuti langkah ini:
- Langkah 1: Layari utusantv.com
- Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
- Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
- Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
- Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

