BARISAN Nasional (BN) akan meletakkan calon bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang bakal berlangsung pada 17 Ogos depan.
Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang diadakan 9 Julai lalu.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri pimpinan tertinggi mewakili BN serta Pakatan Harapan (PH).
“Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju BN meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Nenggiri.
“Pimpinan kedua-dua parti (BN dan PH) memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PRK DUN Nenggiri di Kelantan akan diadakan pada hari Sabtu, 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon pula adalah pada 3 Ogos.
Ia adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan yang pertama diadakan ialah PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) disusuli PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor).
Baca artikel lain: PRK DUN Nenggiri: Pas kemuka senarai calon Sabtu ini
Seterusnya PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK Dun Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan terbaharu PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) pada 6 Julai lalu.
Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan serta-merta.
Ia selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengenai ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang keahlian Bersatu.
Media turut melaporkan Bersatu Kelantan sudah menghantar tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih sebagai calon PRK DUN Nenggiri.
Pada masa sama, Pas turut dilaporkan akan mengemukakan senarai calon untuk bertanding pada PRK tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

