KEPUTUSAN untuk memberi laluan dan melepaskan jawatan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dibuat dengan rela hati.
Itu kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung pengumuman yang dilakukan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk beliau ‘menyerahkan’ jawatan Timbalan Presiden Bersatu kepada Hamzah yang juga Ketua Pembangkang.
Menurut Ahmad Faizal, sebagai salah seorang pengasas Bersatu, beliau mahu melihat parti berkenaan berjaya.
Katanya, perjuangan Bersatu dilakukan tanpa perlu memikirkan siapa yang perlu ke hadapan atau ke belakang.
“Sudah tentu (rela hati), saya di sini sebab saya antara mereka yang mengasaskan parti ini dan saya mahu melihat parti ini berjaya kerana saya yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh parti ini.
“Saya yakin dengan perjuangan dibawa Tan Sri Presiden (Muhyiddin) dan saya yakin semua rakan-rakan kepimpinan juga bersatu hati membawa perjuangan ini jadi obor.
“Jika mainkan peranan, Insya-Allah negara kita akan kembali berada dalam landasan yang baik bukan seperti dalam keadaan sekarang,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online, hari ini.
Baca artikel lain: Hamzah Zainudin dinamakan sebagai calon Timbalan Presiden – Muhyiddin
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Peraturan Persidangan Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun turut meluahkan keyakinan bahawa keputusan yang dibuat secara rundingan bersama akan menunjukkan kepada rakyat bahawa Bersatu kukuh tanpa krisis dalaman.
“Kami yakin apabila kami dapat tunjukkan kepada rakyat bahawa kami mampu menjaga parti kami tanpa haru-biru, buktikan kami juga jika diberi peluang boleh memerintah negeri Sabah ini dan juga boleh mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan.
“Kami boleh membawa segala aspirasi rakyat jauh lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang,” katanya.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Hamzah dinamakan sebagai calon Timbalan Presiden Bersatu yang baharu dalam pemilihan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Beliau berkata, hal itu selepas Ahmad Faizal selaku penyandang jawatan dengan rela hati memberi laluan kepada Hamzah.
Ahmad Faizal pula akan ditawarkan jawatan Naib Presiden sebagai tanda penghargaan iaitu seorang daripada pengasas Bersatu.
Pada masa sama, jawatan Setiausaha Agung Bersatu yang ketika ini disandang Hamzah pula akan ditawarkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu mempunyai banyak pengalaman politik dan seorang daripada tokoh penting dalam negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

