LOKASI mayat Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemui di dalam ladang kelapa sawit merupakan lokasi tumpuan memancing penduduk tempatan.
Tinjauan UtusanTV mendapati lokasi mayat Nur Farah Kartini ditemui kira-kira tiga kilometer dari penempatan penduduk di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Penduduk Kampung Sri Kledang, Roslan Sidek, 37 berkata, kawasan ini merupakan kawasan memancing, jadi tidak aneh jika terdapat beberapa buah kenderaan parkir di bahu jalan untuk masuk ke kawasan ladang kelapa sawit itu.
“Kadang-kadang orang memancing di sini, memang ada kereta parkir di tepi jalan.
“Jadi kita mesti fikir baik, tak fikir yang bukan-bukan,” katanya ketika ditemui UtusanTV, hari ini.
Lokasi penemuan mayat itu kini dikelilingi garisan kuning polis, dipercayai bagi menghalang orang awam mencerobohi kawasan berkenaan.
Setakat pukul 12.30 tengah hari, kelihatan sebuah kereta peronda polis (MPV) dipercayai melakukan tinjauan.
Bagaimanapun, tiada pergerakan keluar masuk pihak polis di lokasi kejadian.
UtusanTV melaporkan seorang anggota polis yang juga kekasih Nur Farah Kartini Abdullah direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek tiba di perkarangan Mahkamah Kuala Kubu Bharu dengan memakai baju lokap berwarna jingga sambil diiringi anggota-anggota polis sekitar jam 8.51 pagi tadi.
Lelaki yang berusia 26 tahun itu ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada 6 petang semalam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

