KELUARGA mangsa bunuh Nur Farah Kartini Abdullah berharap urusan tuntutan jenazah Allahyarham dipermudah dan disegerakan.
Abang mangsa Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, berkata setakat ini ahli keluarga belum menerima sebarang perkembangan mengenai urusan berkenaan daripada pihak polis mahupun hospital.
“Belum ada sebarang perkembangan, doakan urusan kami dipermudah dan disegerakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati pengamal media mula berkumpul sejak 8 pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan tuntutan jenazah graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Bagaimanapun tiada waris mangsa kelihatan di sekitar kawasan berkenaan.
Baca artikel lain: DNA sah milik Farah Kartini, jenazah diserah kepada keluarga hari ini
Semalam, Ketua Polis Selangor memaklumkan jenazah Nur Farah Kartini, 25, hanya boleh dituntut selepas keputusan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh daripada Jabatan Kimia berikutan pengecaman mayat yang tidak dapat dilakukan secara visual.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada Isnin lepas.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak dan direman tujuh hari hingga 22 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

