OPERASI pencarian bahan bukti berhubung kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah di Sungai Trolak, Kampung Batu, Perak diteruskan lagi hari ini.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, operasi pencarian bahan bukti yang bermula pada pukul 10 pagi tadi itu memberi tumpuan kepada lokasi kedua berkenaan.
Berhubung sama ada siasatan diteruskan di lokasi utama pembunuhan yang menjadi tempat penemuan jenazah Nur Farah Kartini iaitu di Kampung Sri Keledang, Ahmad Faizal berkata, perkara itu bergantung kepada siasatan forensik.
“Bergantung kepada siasatan forensik sekiranya masih perlu kepada bukti-bukti saintifik.
“Ya betul (tumpuan di Sungai Trolak). Fokus di sana,” katanya ringkas.
Semalam, media melaporkan beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini ditemukan dalam operasi pencarian bahan bukti yang dijalankan di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak, kelmarin.
Baca artikel lain: Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penemuan bahan bukti tersebut.
Lokasi tersebut terletak kira-kira 20 minit daripada ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini.
Pencarian bahan bukti di sebuah parit di ladang kelapa sawit itu sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa.
Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 6 petang pada Isnin, selepas bekas penuntut UPSI itu dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

