TEMPOH tahanan reman anggota polis berpangkat Lans Koperal yang disyaki membunuh Nur Farah Kartini Abdullah disambung tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bermula hari ini.
Perintah lanjutan reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza bagi membolehkan siasatan mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes tersebut dilengkapkan.
Terdahulu suspek tiba di perkarangan Mahkamah Kuala Kubu Bharu dengan memakai baju lokap berwarna jingga sambil diiringi anggota-anggota polis sekitar jam 9.03 pagi tadi.
Pada Selasa lalu, suspek berusia 26 tahun direman selama tujuh hari oleh mahkamah sama sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini yang hilang di Tanjung Malim, Perak selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan pada 10 Julai lepas.
Suspek ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada 6 petang 15 Julai lepas.
Wanita berusia 25 tahun yang juga merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dipercayai mati akibat dibunuh individu yang dikenalinya.
Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nyiur Manis di Pekan, Pahang pada Khamis lepas selepas jenazahnya dituntut oleh ahli keluarga di Hospital Sungai Buloh.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

