“SAYA belajar daripada Ahmad Zahid, ‘bapak borek anak rintik’. ‘Guru kencing berdiri, murid kencing berlari’.”
Demikian reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis ketika ditanya mengenai penyertaannya secara rahsia ke dalam Pas.
Menurut Muhammad Jailani, beliau ‘meniru’ taktik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini pernah berjanji tidak akan bekerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Sebaliknya, dakwa beliau, Ahmad Zahid telah merancang selama bertahun-tahun untuk menjalinkan kerjasama tersebut serta mengumumkannya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Orang persoal kenapa sekarang (selepas setahun) baru saya beritahu sertai Pas, ia tak perlu dipersoal.
“Sepatutnya tanya Ahmad Zahid dulu kenapa bertahun-tahun beliau bincang dengan Anwar untuk kerjasama dan sekarang akhirnya terbukti bentuk kerajaan dengan Anwar,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Pada 16 Jul lalu, Pas mengumumkan penyertaan Muhammad Jailani ke dalam parti itu dan menjadi wakil rakyat tunggal PAS di Melaka.
Penyertaan Muhammad Jailani itu diumumkan Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, di Parlimen.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani turut menafikan beliau melakukan kejutan untuk menyertai Pas secara tiba-tiba.
Beliau juga menegaskan tidak pernah melanggar perjanjian dalam UMNO seperti mana yang dilakukan Ahmad Zahid.
“Kamu cakap saya buat kejutan, pemimpin kamu yang buat kejutan, dia (Ahmad Zahid) janji dengan saya tak ada Anwar tak ada DAP.
“Kalau pemimpin UMNO kata saya langgar perjanjian, mungkir perjanjian, pemimpin mereka sebenarnya khianati perjanjian,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

