Emas perlu digali digilap, bukan dikutip di tengah jalan

Dari Penulis

DENDAM tetap membara setelah Malaysia kecundang menggapai impian memperoleh pingat emas pertama pada Sukan Olimpik di Paris yang berakhir 11 Ogos lalu. Dendam ini mahu dilunaskan pada Sukan Olimpik di Los Angeles, Amerika pada 2024.

Ini kata-kata ketua kontigen Malaysia ke Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin. Gagal di Paris, cuba lagi di Los Angeles. Empat tahun lagi baru tahu sama ada kilauan emas dapat digenggam atau tetap tinggal harapan, dan sekadar ‘cuba lagi’.

Kilaun emas terus diburu, Olimpik demi Olimpik, tetapi tetap di luar jangkauan. Pada Olimpik Paris hanya dua pingat gangsa diperoleh melalui acara badminton, masing-masing melalui Lee Zhii Jia acara perseorangan dan Aaron Chia—Soh Wooi Yik acara beregu.

Sebenarnya tidak banyak harapan disandarkan oleh kontigen Malaysia kerajaan acara yang disertai sangat terbatas. Percaturan utama ialah melalui badminton, renang dan lumba basikal. Hanya badminton sahaja menghadiahkan pingat untuk negara.

Namun untuk berlaku adil, harus diakui semua atlet yang mewakli negara telah berusaha bersunguh-sungguh untuk menempa kejayaan demi diri dan negara. Saingan bukan mudah kerana Olimpik menampilkan atlet terbaik dari seluruh dunia.

Tetapi persediaan mesti dilakukan secara konsisten, bukan hanya menunggu ketibaan Olimpik. Atlet negara mesti terlebih dahulu menyinar dalam Sukan Asia Tenggara (SEA Games), Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Pada ketiga-tiga sukan berkenaan sebelum ini Malaysia terbukti mampu menuai emas. Jadikannya landasan untuk kejayaan di Olimpik.

Menyedari Olimpik ialah medan saingan atlet terbaik dunia, persediaan kontigen negara mesti menjurus dan mensasarkan menjadi yang terbaik daripada yang terbaik. Terbaik bukan hanya menurut definisi sendiri tetapi definisi peringkat dunia.

Untuk itu usaha mencari dan mencungkil bakat baharu mesti dilakukan berterusan. Mungkin ada ramai di luar sana yang berpotensi dalam pelbagai bidang sukan tetapi tidak ditonjolkan. Mereka ibarat berlian dalam lumpur, ada cahaya tiada berharga. Bersihkan lumpur untuk mendapat sinar.

Usaha ini penting kerana negara tidak harus bergantung kepada barisan atlet sedia ada untuk meneruskan cabaran membawa obor negara. Usia mereka akan bertambah. Kemampuan untuk bersaing dengan atlet lain dunia yang lebih muda tentu sukar.

Jika penekanan hanya bertumpu kepada mereka, akan berlaku kekosongan atau ‘vacuum’ apabila sampai waktu mereka berundur. Jika ketika itu baharu hendak mencari bakat baharu, ia sudah terlambat. Bakat baharu perlukan masa untuk dilatih dan menimba pengalaman. Dalam proses ini negara akan ketinggalan dalam persaingan.

Proses mencari pelapis mesti dijadikan agenda utama. Ambil contoh negara lain. Setiap kali sukan bertaraf dunia, ada sahaja atlet baharu muncul di samping atlet lama. Kombinasi baharu dan lama mampu memberikan satu ‘blending’ mantap untuk mengukir kejayaan.

Oleh itu pihak bertanggung jawab terhadap sukan, baik daripada Kementerian Belia dan Sukan, persatuan sukan, para pegawai dan pemimpin persatuan mesti memberi perhatian serius. Mereka mesti berada dalam keadaan bersiap siaga apabila khidmat bakti atlet ditagih.

Berfikir di luar kotak

Pihak kementerian dan pemimpin persatuan mesti sentiasa proaktif dan berfikir di luar kotak dalam menyediakan barisan atlet mantap dan berdaya saing. Padamkan sikap selagi yang ada boleh dikerah, nanti dahululah cari yang lain. Sikap ini sangat merugikan. Emas perlu digali dan digilap, bukan boleh dikutip di tengah jalan.

Tidak salah menimba ilmu daripada negara lain yang telah berjaya untuk membenihkan kejayaan negara sendiri. Ambil contoh badminton. Dahulu Malaysia, Indonesia dan Denmark dianggap gergasi dunia. Setelah China melaksanakan ‘Dasar Pintu Terbuka’, China turut menjadi kuasa badminton.

Tetapi pernahkah kita terfikir negara-negara seperti Thailand, Peranchis, Korea, Jepun, Taiwan dan beberapa negara lain, yang dahulu boleh dikatakan tidak pandai pegang reket, kini para pemain negara berkenaan antara terbaik di dunia. Mereka malah boleh menjinakkan pemain Malaysia.

Begitu juga dalam bola sepak. Suatu ketika dahulu Korea Selatan dan Jepun misalnya bukanlah pasukan hebat. Malaysia boleh ‘makan’ mereka. Tetapi apa jadi sekarang? Mereka berjaya ke pentas Piala Dunia sedangkan Malaysia jauh ketinggalan.

Dalam hoki pula, Malaysia juga gah di persada dunia. Negara pernah menduduki tempat keempat dalam pertandingan Piala Dunia di Kuala Lumpur pada tahun 1975. Namun di mana kedudukan hoki Malaysia masa kini?

Yang jelas, negara lain terus maju dalam bidang sukan, terus memperbaiki diri untuk menjadi yang terbaik. Malaysia yang pernah menjadi yang terbaik pula kini merangkak mahu menyelitkan diri ke dalam kelompok terbaik.

Sejarah adalah rekod yang sangat bernilai untuk dijadikan iktibar. Renungi kejayaan masa lalu dan fikirkan kenapa negara tergelincir daripada kedudukan dahulu. Ambil pengajaran daripada apa yang berlaku, jadikan pembakar semangat untuk terus gigih menuju ke puncak jaya.

Para pemimpin persatuan sukan yang merasai diri sudah tepu, tidak dapat menyumbang idea dan tenaga, berundurlah secara sukarela. Biar yang lebih agresif dan mempunyai idea bernas mengambil alih. Namun siapa juga yang memimpin mestilah berkhidmat dengan komited, tulus ikhlas untuk negara, bukan hanya mahu kedudukan.

Semangat ini juga perlu diterapkan kepada setiap atlet. Berbanggalah menjadi atlet negara dan berbanggalah membawa nama Malaysia. Mesti gigih, mesti ada tekad untuk berjaya. Jika tidak jangan harap membawa kilaun emas Olimpik ke bumi tercinta ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kewujudan Parti Wawasan Negara, apa nasib Bersatu dalam PN?

ARENA politik negara tidak pernah sunyi dengan pelbagai jenis drama tidak kira di pihak kerajaan mahu pun pembangkang. Pergolakan yang...

More Articles Like This