TUN Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berusaha untuk mengharamkan UMNO selepas dilantik menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada tahun 2018.
Pejabat Dr Mahathir dalam kenyataan menegaskan, dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Dr Mahathir mahu mengharamkan parti itu tidak benar sama sekali.
Sebaliknya, Dr Mahathir hanya menyuruh Ahmad Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu telah pun tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada masa sama, Pejabat Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri itu meminta Ahmad Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu tidak lagi mewakili orang Melayu, pemimpin-pemimpinnya terkait dengan rasuah dan sudah tidak lagi berjuang demi agama, bangsa dan tanah air seperti tujuan asal parti itu ditubuhkan.
“Sesungguhnya jika Dr Mahathir berhasrat untuk mengharamkan UMNO, beliau sebagai Perdana Menteri boleh mengarahkan Menteri Dalam Negeri melakukannya serta-merta.
“Tetapi selama dua tahun lebih Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, UMNO terus berada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Pejabat Dr Mahathir memaklumkan, pembubaran yang dicadangkan itu terletak di atas bahu Ahmad Zahid dan kepemimpinan UMNO untuk menerimanya.
Katanya, itu pun sekiranya kepemimpinan UMNO menyedari bahawa parti itu telah terpesong daripada perjuangannya dan tidak layak menggunakan nama UMNO.
“Ahmad Zahid juga kemudiannya telah didakwa di mahkamah atas 47 pertuduhan berkaitan rasuah.
“Bahawa parti yang bernama UMNO masih ada hingga sekarang membuktikan parti itu tidak pernah diharamkan,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mendedahkan dirinya adalah dalang utama menjatuhkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman UMNO.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, tindakan luar biasa itu terpaksa dilakukan untuk menolak Dr Mahathir yang ingin mengharamkan parti tersebut.
Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Ini membawa kepada pembentukan kerajaan baharu oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan satu kumpulan PKR yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih sebagai Perdana Menteri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

