OLEH: SHAHBUDIN EMBUN
“JANGAN kita ingat, kita dominan seperti dahulu lagi. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri. Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti.”
Begitulah antara intipati yang dipetik daripada ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024). Apa yang disarankan oleh Ahmad Zahid itu benar-benar tepat pada sasarannya.
Presiden UMNO itu jelas tidak mahu ahli parti mempunyai kesangsian antara satu sama lain. Mereka sepatutnya sama-sama menggembleng tenaga dan usaha bukannya menuding jari, menyalahkan sesama mereka apabila ada ujian melanda parti keramat ini.
Itu sebabnya tidak keterlaluan jika kita dapat katakan bahawa ucapan dasar Presiden UMNO, pada PAU 2024 ini merupakan antara ucapan yang paling penting dalam sejarah penubuhan UMNO.
Ucapan Presiden UMNO kali ini membawa mesej yang sangat jelas untuk parti keramat ini kembali bangkit berjuang setelah melalui pelbagai cabaran hinggakan pernah satu ketika, boleh memungkinkan parti keramat ini hanya tinggal nama sahaja apabila ada pihak ingin membubarkannya.
Semua ahli perlu sedar yang UMNO tidak boleh lagi bermegah dengan kejayaan lampau sehingga pernah satu ketika dahulu, ramai yang menganggap UMNO akan terus kekal sebagai invincible.
Perkara ini sudah beberapa kali ditegaskan oleh Ahmad Zahid bahawa UMNO mesti terus bangkit dan tidak boleh lalai dalam perjuangan walau untuk seketika.
Ahmad Zahid sedar dan tahu akan cabaran yang dipikulnya. Beliau bukanlah seorang pemimpin yang hanya duduk diam begitu sahaja. Dan untuk menghadapi cabaran ini, Ahmad Zahid sudah menggariskan tiga rukun politik bagi mendepani laman baharu dinamika dan realiti semasa politik tanah air.
Baca artikel lain: UMNO harap kembali dominan, bebas pilih rakan kongsi politik – Zahid
Rukun yang pertama ialah menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen bagi memastikan UMNO menjadi parti yang membentuk kerajaan. Rukun kedua pula membuka pilihan untuk bekerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras. Dan rukun yang ketiga ialah memastikan politik sederhana dengan mengambil jalan tengah sebagai model kesepakatan yang berupaya memelihara kestabilan negara.
Tiga rukun politik yang digariskan ini benar-benar menggambarkan komitmen dan semangat Ahmad Zahid untuk membawa UMNO menuju semula ke jalan gemilangnya.
Jelas Ahmad Zahid, lagi, UMNO mesti keluar daripada echo chamber dan zon selesa serta mesti berani berdepan dengan pelbagai idea baharu dan perspektif, agar UMNO tetap dianggap relevan dalam landskap politik hari ini yang semakin kompleks.
Rukun-rukun politik ini tidak ada ertinya sekiranya ahli UMNO hanya bersemangat sepanjang PAU 2024 ini sahaja. Itu sebabnya Ahmad Zahid tidak pernah berputus asa dan sentiasa mengingatkan para pemimpin dan ahli parti supaya terus berjuang dan mengembalikan semula maruah perjuangan yang sentiasa menjadi kebangaan UMNO.
Oleh itu, kepada ahli UMNO yang dipilih menjadi wakil atau pembahas, perlulah menggunakan segala peluang untuk memberikan pandangan, nasihat dan cadangan yang baik, supaya dapat dijadikan sebagai panduan kepada kepimpinan UMNO yang sedang mengemudi parti ini ke hala tuju yang boleh menjanjikan kejayaan.
Kesimpulannya, ucapan dasar Presiden UMNO yang penuh bersemangat pada PAU 2024 ini telah menambahkan keyakinan semua ahli dengan kepimpinan Ahmad Zahid.
Presiden UMNO telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak akan menjadi pengkhianat atau merelakan mana-mana pihak memperlakukan parti keramat ini sebagai bahan dagangan politik.
Kata-kata ini jelas membuktikan yang Ahmad Zahid akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan UMNO terus relevan khasnya dalam menghadapi suasana dan situasi yang semakin mencabar.
Sememangnya UMNO memerlukan kepimpinan Ahmad Zahid yang telah membuktikan dirinya begitu berani apabila tidak pernah lari ketika berdepan dengan suasana dan tekanan politik yang hebat.
Penulis adalah penganalisis politik
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

