SATU sindiket pemalsuan dokumen yang dipercayai telah beroperasi selama empat bulan dan didalangi warganegara Bangladesh berjaya ditumpaskan dalam satu operasi khas di sekitar Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki sebagai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen itu berjaya ditahan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Menurut Ruslin, operasi yang bermula pada pukul 9.05 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Hasil soal siasat, beliau berkata, pasukan operasi telah membuat serbuan di sebuah premis kediaman dan berjaya menahan empat lagi lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai bertindak sebagai pembantu kepada dalang utama.
“Semakan awal mendapati dalang utama itu telah tinggal lebih masa manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah merampas 29 naskhah pasport yang disyaki palsu terdiri daripada 26 naskhah pasport Bangladesh, dua naskhah pasport Indonesia, satu naskhah pasport Myanmar, satu unit komputer riba, satu unit pencetak dan resit pembayaran secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, modus operandi sindiket itu adalah menawarkan perkhidmatan kepada warganegara asing yang tidak memiliki pasport untuk mendapatkan dokumen FOMEMA.
Baca artikel lain: Pekerja asing lari bertempiaran apabila Imigresen gempur restoran
Katanya, sindiket itu akan menggunakan khidmat pembantu sindiket dengan bayaran RM100 untuk setiap pasport bagi tujuan mendapatkan dokumen FOMEMA.
Beliau memberitahu, pembantu sindiket itu kemudiannya akan hadir ke klinik panel FOMEMA untuk memohon dengan menggunakan maklumat di pasport yang disyaki palsu.
“Kesemua pembantu sindiket telah hadir sebanyak 19 kali di klinik panel FOMEMA yang berlainan dan ditentukan oleh dalang utama.
“Sindiket ini menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mempromosikan perkhidmatan mereka.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM500 untuk setiap perkhidmatan dan penghantaran akan dilakukan menggunakan perkhidmatan kurier atau serahan tangan,” katanya.
Dalang utama itu telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 12(1)(a) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Empat lelaki warganegara Bangladesh yang lain pula ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.
Kesemua warganegara asing itu juga telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut manakala seorang lelaki warganegara Malaysia telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

