Sabda Rasulullah s.a.w. “Bacalah Qul huwallahu ahad, dan al-Muawwizatayn pada waktu pagi dan waktu petang sebanyak tiga kali. Akan cukup bagi kamu pemeliharaan dari setiap sesuatu” (HR Tirmizi)
Al-Muawwizatayn yang dimaksudkan oleh hadis di atas ialah dua surah yang menggunakan perkataan “qul a’uzu” bermaksud aku memohon perlindungan. Maka al-Muawwizatayn ialah dua surah pelindung dan surah yang dimaksudkan ialah surah al-Falaq dan surah an-Nas.
Dalam beberapa hadis Nabi s.a.w. menyebut al-Muawwizat. Ketika itu ia bermaksud surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas. Ketiga-tiga surah di atas bermula dengan perkataan qul yang bermaksud katakanlah.
Ia menerangkan bahawa Allah mengajarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya memohon perlindungan hanya kepada Allah, daripada sebarang bahaya yang datang dari makhluknya. Maka hadis di atas mengajarkan kepada kita bahawa cara untuk mendapatkan perlindungan adalah dengan mengamalkan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas sebanyak tiga kali setiap pagi dan petang.
Hakikatnya, kandungan ketiga-tiga surah tersebut iaitu surah al-Fatihah dan surah al-Muawwizatayn adalah merupakan sebuah doa yang diajarkan Allah. Allah mengajarkan sebuah doa yang amat diperlukan oleh hamba-hamba Nya dan menyatakan hanya Dialah yang mampu memberikan pertolongan.
Surah al-Ikhlas
Surah ini membicarakan tentang tauhid yang tulus dan suci terhadap Allah. Surah ini menyucikan Allah daripada sebarang kekurangan dan membebaskan daripada sebarang penyekutuan. Ia juga membicarakan tentang perkara-perkara asas dan prinsip agama.
Maka apabila surah ini dibacakan, ia seolah-olah sebuah ikrar daripada seorang hamba akan keesaan Tuhannya. Ia adalah sebuah pengakuan bahawa tiada kekuatan dan kekuasaan selain daripada Tuhannya. Hanya Allah tempat memohon pertolongan dan tempat pergantungan. Segala ciptaan dan makhluk Nya adalah lemah dan tidak ada kuasa, dan hanya Allah mampu mengalahkan segala kekuatan yang wujud
Surah al-Falaq
Kandungan surah al-Falaq jelas menunjukkan kepada kita supaya memohon perlindungan daripada Allah. Pertamanya daripada sebarang bahaya yang datang daripada makhluk-makhluk Nya sama ada dari manusia, binatang, yang nampak dan yang tidak nampak.
Seterusnya ayat itu mengajar kita supaya memohon perlindungan daripada bahaya yang biasanya berlaku pada waktu malam. Pada kebiasaannya, kejahatan lebih mudah dan banyak timbul tatkala malam menyelubungi bumi.
Surah ini juga mengajar kita supaya memohon perlindungan dari bahaya bomoh-bomoh dan sihir-sihir buatan mereka dan juga dari hasad para pendengki. Maka Allah ajarkan supaya meminta daripada Nya yang bersifat al-Rabb iaitu yang Memelihara, Menjaga dan Melindung. Dengan sifatnya inilah, Dia akan menjaga dan memelihara hamba Nya yang memohon kepada Nya.
Surah an-Nas
Surah an-Nas adalah surah untuk memohon perlindungan Allah daripada manusia, jin dan syaitan. Surah ini adalah surah memohon perlindungan daripada Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang agung iaitu yang memelihara dan menguasai manusia serta Tuhan yang disembah.
Sifat yang dimaksudkan ialah al-Rabb (Yang Memelihara, Membimbing, Mengarah, Menjaga dan Melindung) al-Malik (Yang Memiliki, Memerintah dan Mentadbir) dan al-Ilah (Yang Menguasai Segala-galanya). Semua sifat-sifat ini berkuasa memberi pertolongan daripada kejahatan-kejahatan yang meresap ke dalam hati manusia di mana manusia tidak mengetahui bagaimanakah caranya menolak kejahatan-kejahatan yang tersembunyi itu.
Disebabkan kelebihannya yang terlalu besar, Baginda s.a.w. telah mengamalkan tiga surah ini dalam banyak keadaan antaranya:
Pertama: Ketika hendak tidur dan bangun dari tidur
Dari Aisyah r.ha. bahawa Rasulullah s.a.w. apabila ia hendak tidur pada setiap malam, ia merapatkan kedua tapak tangannya kemudian menghembuskannya dan membacakan padanya qul huwallahu ahad, dan qul a’uzubirabbil falaq dan qul a’uzubirabbin nas. Kemudian Baginda menyapu kedua-dua tangannya itu pada tempat yang boleh dicapai tubuhnya bermula dengan kepala, wajah dan tubuhnya. Ia melakukan demikian sebanyak tiga kali” (HR Bukhari)
Kedua: Ketika sakit
Daripada Aisyah r.ha. bahawa Rasulullah s.a.w. telah membacakan ke atas dirinya al-Muawwizat dan menghembuskannya. Aisyah berkata lagi, “Tatkala Baginda s.a.w. jatuh sakit, aku telah membacakan ke atasnya dan menyapu tubuh badan Baginda dengan telapak tangan Baginda sendiri kerana mengharapkan keberkatan tangannya. (HR Bukhari)
Ketiga: Selepas solat
Dari Uqbah bin Amir telah berkata, “Rasulullah s.a.w. telah menyuruh aku supaya membaca al muawwizat selepas setiap kali solat” (HR Abu Daud)
Sangat mudah bukan? Tiga surah yang pendek tetapi mempunyai fadilat yang sangat besar. Maka apakah kita masih mengharapkan dan bergantung pada yang lain selain Allah?
Pintalah kepada Allah. Mohonlah kepada Nya. Selain Allah, tidak berupaya sesiapa pun memberikan pertolongan yang diharapkan oleh manusia. Selain Allah, semuanya lemah, baik daripada kalangan jin mahupun manusia. Kita juga tidak perlu kepada tangkal dan azimat, bahkan ia boleh membawa kepada rosaknya akidah.
Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi perlindungan. Dek kerana itulah Rasulullah ada mengingatkan,
“Sekiranya kamu mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan dengan Allah” (HR Tirmizi) Wallahu a’lam
____________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

