GELARAN ‘pengantin sampah’ yang diberikan netizen kepada pasangan pempengaruh, Siti Jamumall dan Aiman Tak Kesah langsung tidak memberi kesan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan seharian bersama-sama.
Bahkan, pasangan sensasi itu terus melayari bahtera rumah tangga dengan harmoni dan bahagia biarpun tidak terlepas daripada kecaman ramai sejurus berita pernikahan mereka di Satun, Thailand pada 1 Jun lalu mendapat liputan media.
Buktinya, majlis perkahwinan atau resepsi termasuk sambutan ulang tahun Siti tetap dinantikan ramai apabila acara yang berlangsung di Magica Monterez Hall, Shah Alam, Selangor, malam tadi dihadiri oleh 5,000 orang tetamu.

Menerusi majlis itu, Siti dan Aiman membuat gimik dengan melakonkan semula kisah hidup mereka yang di anggap ‘sampah’ oleh netizen, sekali gus memberi makna mendalam serta memukau seluruh tetamu yang hadir.
Siti atau nama sebenar Siti Suriani Wahiddin, 25, berkata gimik itu sememangnya dirancang untuk dipersembahkan semasa majlis perkahwinannya supaya dapat membuka mata masyarakat bahawa kisah mereka ini bukan sampah, namun ia adalah permata.
“Bertahun-tahun Siti dan Aiman buat ‘live’ (siaran langsung). Dari awal sehingga kini banyak kecaman.
“Sokongan mereka menjadikan kami lebih bersemangat untuk terus kuat ketika membuat ‘live’,” katanya.
Mengulas sambutan hangat diterima sempena majlis perkahwinan mereka, Siti bersyukur apabila ramai peminat yang hadir dari pelbagai negeri termasuk mendoakan kebahagiaan mereka.
“Boleh dikatakan kami sangat berbangga apabila melihat ramai yang mendoakan majlis perkahwinan kami dari jauh termasuk 5,000 tetamu yang hadir di resepsi kami.
“Saya juga sangat berterima kasih pada rakan bisnes yang sudi berkolaborasi,” ujarnya.
Barisan penaja yang berkolaborasi untuk menjayakan majlis perkahwinan pasangan ini adalah Icely Aiskrim, Duriyummy, Hasbella Teading Sdn Bhd, Chenta Arts Wedding Craft, TRI H Empire, Beaucell Sdn Bhd, AZ Pemurah, Nayang Cool & Yummy, Meemamu, Sambal Seha, Estetika Medispa, CikguCtHomemade dan Raiessa Cosmetic.
Busana anggun mereka pula direka khas oleh butik pengantin dari Negeri Sembilan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan penyanyi Ayu Damit dan Zizi Kirana.

Dengan jumlan perbelanjaan keseluruhan berjumlah lebih setengah juta dan mencatat kehadiran 5,000 tetamu, majlis perkahwinan antara Siti Jamumall dan Aiman Tak Kesah bakal menjadi ‘Wedding of The Year’.
Pada 1 Jun lalu, Siti Jamumall memilih untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya, Aiman Tak Kesah atau nama sebenar, Khairul Aiman Abdul Kudus, 21, di Satun, Thailand.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

