PERSONALITI media sosial, Siti Jamumall membuat pendedahan mengejutkan apabila mengaku sudah bercerai dengan Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, atau dikenali sebagai Aiman Tak Kesah sejak dua minggu lalu.
Bagaimanapun, Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26, membuat keputusan untuk rujuk semula dengan suaminya dalam tempoh 24 jam.
Pengesahan lafaz cerai dan rujuk mereka itu dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pada 6 Mei lalu.
“Selepas berlakunya lafaz cerai, kami sudah rujuk semula. Disebabkan saya kini hamil lima bulan, mungkin juga emosi terbawa-bawa sehingga berlakunya perceraian itu. Saya anggap ini adalah ujian perkahwinan dengan suami.
“Saya minta maaf dan akui silap saya pada suami. Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi dan berdoa semoga jodoh kami berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Mungkin apa yang berlaku ini juga sebagai satu cara agar kami refleksi diri dan proses lebih mengenali,” katanya.
Katanya, dia berharap agar tiada lagi spekulasi mengenai kisah rumah tangga mereka.
“Terlalu ramai yang bertanya dan komen. Jadi, dengan kenyataan ini saya berharap segalanya sudah jelas serta tidak wujud sebarang spekulasi.
“Saya dan suami cuba belajar daripada kesilapan dan lakukan sehabis baik selepas ini. Apa yang sudah terjadi, biarlah berlalu. Kami mahu buka buku baru. Saya reda,” ujarnya.
Terdahulu, Siti dan Aiman bernikah di Satun, Thailand pada 1 Jun tahun lalu.
Sebelumnya, Siti pernah berkahwin namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil daripada perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak lelaki Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3.

