
DALAM ucapan perhimpunan Jabatan Perdana Menteri semalam, Perdana Menteri sekali lagi, selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang lalu, menggesa agar reformasi perkhidmatan awam dilaksanakan segera.
Bulan September ini kita seharusnya menyaksikan inisiatif reformasi dengan lebih jelas.
Perkhidmatan awam adalah jentera pelaksanaan kerajaan. Cara perkhidmatan awam berfungsi menentukan kejayaan sesebuah kerajaan.
Perdana Menteri mengharapkan perkhidmatan awam bertindak lebih pantas, lebih cepat respons kepada permasalahan rakyat, menangani pertindihan organisasi dan perjawatan, dan menyemak semula peraturan sedia ada.
Reformasi perkhidmatan awam melampaui kepantasan dan penyusunan semula organisasi. Perkhidmatan awam seharusnya bersifat dinamik, bersesuaian dengan konteks dan tahap kemajuan negara.
Hari ‘kerajaan tahu semua dan laksana semua’ telah berakhir. Paradigma baharu perkhidmatan awam diperlukan.
Bersedia untuk berubah, tinggalkan legasi yang telah lama menapak tanpa dinilai (atau dipersoal), masihkah ia relevan dan diperlukan? Perangkap legasi adalah antara penghalang utama pelaksanaan yang berkesan.
Sebagai contoh, masihkah kita perlu Rancangan Malaysia 5 Tahun, setelah 67 tahun kita merdeka? Masih relevankah cara perancangan begini? Perancangan pembangunan setiap 5 tahun? Sesuaikah perancangan sebegini dengan era post-normal dan V.U.C.A?

Baca artikel lain: Jadikan semangat Hari Kebangsaan ke-67 pendorong tingkat prestasi – PM

Berapa ramai yang masih ingat teras-teras utama RMke12 atau terkini Kajian Separuh Penggal RMke12 yang diumumkan tahun lepas? Saya tahu ini soalan berat tetapi kita tidak boleh meneruskan sesuatu hanya kerana ia telah dibuat sebelum ini. Jangan terperangkap dengan legasi.
Sifat masyarakat telah berubah. Masyarakat baharu ‘pasca-modenisasi’ bukan sahaja mempunyai sifat-sifat baharu yang khusus, malah hubungan dan harapan mereka terhadap kerajaan dan perkhidmatan awam juga turut berubah.
Survei Nilai Sejagat (World Value Survey) jelas menunjukkan ‘ketaatan’ masyarakat kepada kerajaan bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap mudah, senang dicapai-taken for granted.
Semakin tinggi tahap pendapatan rakyat, semakin rendah ‘utiliti’ yang diperolehi daripada mentaati arahan kerajaan. Hanya sekitar 53% daripada sampel survei yang menyatakan kesediaan mentaati kerajaan.
Ini bukan penentangan politik tetapi konteks baharu yang diharapkan oleh rakyat dari kerajaan.
Masyarakat baharu mempunyai pendidikan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi, cara hidup perbandaran, dan suara muda yang lebih kuat. Mereka mahukan penglibatan, perkongsian, pilihan, delegasi dan keterbukaan.

Inovasi perkhidmatan awam mesti dirancakkan. Beberapa pelan pembangunan kebelakangan ini, termasuk Kerangka Ekonomi Madani, menyebut ‘Whole of Nation’ sebagai antara teras utama pelaksanaan.
Rakyat dan industri tidak lagi menjadi ‘pengikut arahan’ tetapi menjadi rakan strategik kepada perkhidmatan awam.
Paradigma ‘Governing by Network’, bukan lagi sebagai tempelan ‘buat bagi ada’ tetapi menjadi keutamaan dalam pelaksanaan. Jaringan perkhidmatan awam-rakyat-industri menjadi tonggak kepada tatacara pelaksanaan dasar awam.
Kita mesti memberi sokongan penuh kepada Ketua Setiausaha Negara yang baharu, Datuk Seri Shamsul Azri, untuk menjayakan reformasi ini.
Tubuhkan pasukan khas khusus untuk menjayakan misi ini. Perjelaskan kerangka untuk menjayakan reformasi ini. Apa yang akan dilaksanakan, siapa yang bertanggungjawab, apa sasaran, dan bagaimana pelaporan progres reformasi ini.
Bulan September ini menjadi titik permulaan menguji kesediaan perkhidmatan awam untuk berubah. Bersama kita jayakan harapan PM. MINDA UKM bersedia, untuk Malaysia.
MINDA UKM: Bersama Membangunkan Negara
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

