POLIS menerima lima laporan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya tentang isu sijil halal.
Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain seperti dilapor Sinar Harian Online, hari ini.
Menurut Razarudin, satu kertas siasatan telah pun dibuka berhubung isu berkenaan.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan; Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, laporan yang diterima itu adalah disebabkan ketidakpuasan hati individu termasuk pertubuhan bukan kerajaan berhubung kenyataan Teresa.
“Prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit 3R (kaum, agama dan institusi raja) akan dijalankan setelah laporan polis diterima.
“Semua saksi juga akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, walaupun seseorang individu bebas memberikan pendapat menerusi Perlembagaan Persekutuan, namun ada had yang perlu dipatuhi.
Baca artikel lain: Sijil halal: Kenyataan bukan pendirian PH, PM nasihat Teresa tak perlu cetus kontroversi
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.
“Kenyataan yang bersifat sedemikian juga merupakan satu kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam. PDRM juga menyeru semua masyarakat untuk hayatilah prinsip Rukun Negara,” ujarnya.
Kelmarin, Teresa dipetik sebagai berkata sijil halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

