PRK Mahkota: BN diramal menang mudah tetapi ia bukan satu kepastian

Dari Penulis

 PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini tidak ada apa-apa signifikannya. Siapapun menang kedudukan kerajaan negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) akan terus kekal. 

 Berdasarkan rekod, penguasaan BN yang diwakili oleh UMNO di kerusi DUN itu sukar digugat. Ketika PRN pada 12 Mac 2022, Calon BN, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menang dengan majoriti 5,166 undi.

 Allahyarhamah  yang mendapat 16,611 undi menewaskan calon daripada Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman dan  Calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Nor Lingan serta Mohammad Noor Suleiman daripada parti Warisan.

 Ketika pilihan raya itu, BN dan PH belum lagi berada dalam satu kerajaan di peringkat pusat. Kalaulah jumlah undi diperolehi oleh Calon PH iaitu 11,445 undi dikekalkan manakala sokongan kepada BN tidak berubah, sudah pasti BN tidak ada masalah mengekalkan penguasaan di DUN Mahkota.

 Pemimpin BN  pasti berasa lega apabila DAP yang kini menjadi sahabat baik berjanji dan berikrar akan berkempen habis-habisan untuk memastikan kemenangan BN yang akan diwakili oleh Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah.

Jaminan PH terutamanya DAP amat penting kepada UMNO berikutan perpecahan undi dalam kalangan pengundi Melayu, apabila keadaan itu berlaku penyokong PH-DAP terutamanya pengundi Cina akan menjadi ‘penyelamat’ kepada BN walaupun UMNO dijangka tidak ada masalah untuk menguasai hampir keseluruhan 4,510 undi milik anggota tentera dan 402 undi anggota polis.

Ketika kempen PRK DUN Nenggiri, salah satu modal digunakan oleh BN  ialah kemenangan BN penting untuk menguatkan suara pembangkang di DUN Kelantan yang dikuasai oleh Pas. Soalnya adakah PN akan menggunakan modal tersebut bagi menambah suara pembangkang di DUN Johor?

 Kalaupun modal itu digunakan, ia belum tentu akan membawa kejayaan kepada PN, mungkin atas sebab itulah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Tan Sri Annuar Musa meramalkan BN akan menang besar dan boleh memperolehi majoriti sehingga 30,000 undi.

 Untuk rekod DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi berdaftar. Daripada jumlah itu 61,397 pengundi adalah orang awam, 4, 510 anggota tentera dan 402 anggota polis.

 Walaupun keputusan seolah-olah sudah diramal ia bukan bermakna teori demokrasi songsang dan cetek Speaker DUN Johor, Dr Puad Zarkashi yang mencadangkan agar PN tidak bertanding di PRK tersebut harus diterima. Beliau yang merupakan Ketua Pengarah JASA yang terakhir ketika BN hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah pada PRU-13 melontarkan pandangan cetek itu selepas mendengar ramalan Annuar.

 ‘’Kurang sikit cerita fitnah, janji kosong, cacian dan menghina institusi raja. Duit pembayar cukai boleh dijimatkan,’’  kata Puad.

 Kadang kala penulis bersimpati dengan Puad kerana selama ini pelbagai kecaman, kritikan dan hentaman beliau lemparkan untuk melemahkan atau memburuk-burukkan PN yang dianggotai oleh Bersatu dan Pas, tetapi semuanya ‘hampeh’.

Kedua-dua parti itu terus mendapat sokongan orang Melayu dan paling ketara ialah kekuatan Pas yang ternyata terus kukuh. Sebaliknya, UMNO pula kini perlu bergantung kepada PH-DAP untuk menang dalam pilihan raya seperti mana yang akan berlaku di DUN Mahkota.

Kalaulah Puad meminta PN tidak bertanding di DUN Mahkota kerana diramalkan akan kalah maka UMNO juga selepas ini tidak perlulah bertanding di kerusi DUN atau Parlimen di kawasan kubu kuat Pas terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bagaimanapun pilihan raya adalah pesta demokrasi, sesiapa sahaja boleh menyertainya sebab itulah calon Bebas pun boleh bertanding walaupun tahu akan kalah.

Namun begitu sejarah politik negara menunjukkan dalam pilihan raya apa sahaja boleh berlaku. Contohnya, siapa sangka, UMNO kini Tanya dominan di Melaka dan Johor sahaja? Itupun di Melaka tidak ada Ahli Parlimen! Di Terenggganu, langsung tidak ada ADUN atau Ahli Parlimen UMNO. 

 Dan pada PRU-13 BN adalah kerajaan yang menguasai segala agensi termasuk JASA yang diketuai oleh Puad, tetapi akhirnya hilang kuasa juga! Kenapa itu berlaku? Ia disebabkan kuasa rakyat.

 Begitulah juga di DUN Mahkota, biarlah pengundi di situ menentukan siapa yang mereka mahu menjadi wakil rakyat mereka. Lagi pula, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi melakukan langkah  bijak apabila mengambil pemimpin Pemuda UMNO menjadi calon dan ia boleh memberi kelebihan kepada UMNO seperti mana kejayaan di PRK DUN Nenggiri baru-baru ini. 

 Jika BN berjaya memenangi kerusi DUN Mahkota maka selepas ini Ahmad Zahid perlu terus meletakkan calon-calon dalam kalangan generasi muda bukannya terus bergantung kepada pemimpin veteran seperti Puad Zarkashi.

 Biarlah ketua-ketua bahagian atau pemimpin bahagian sekadar menjadi penasihat sahaja bukan lagi menjadi calon dalam pilihan raya. Era mereka sudah berlalu. Jika ada Ketua Bahagian yang mahu merajuk kerana tidak dipilih menjadi calon seperti mana berlaku di sebuah bahagian UMNO di Johor tidak lama dahulu,biarkan sahaja, apa yang penting UMNO menang.

Bagi PN pula yang akan diwakili oleh Bersatu, mereka tidak perlu terganggu dengan teori, pandangan atau ramalan mana-mana pihak berhubung PRK DUN Mahkota. Sebaliknya parti itu perlu meletakkan calon terbaik untuk memberi cabaran kepada BN.

 Jika PN dapat mengekalkan jumlah undi yang diperolehi pada PRN lalu sahaja, ia sudah mencukupi tetapi tidak mustahil perolehan undi PN boleh meningkat khususnya daripada pengundi Melayu.

 Ia kerana ketika PRN dahulu UMNO belum lagi berkawan dengan DAP. Sokongan diterima oleh UMNO bukan sahaja daripada ahli parti itu tetapi juga orang Melayu. Sekarang UMNO-DAP sudah ‘berdakap’, mungkin mereka (ahli UMNO-orang Melayu) ada pendirian lain…siapa tahu.

 Atas sebab itulah penulis sentiasa percaya dalam politik dan pilihan raya, segalanya berkemungkinan. Begitu juga di DUN Mahkota, tidak mustahil ‘mahkota’ akan dirampas PN. Dahulu orang kata mustahil UMNO-DAP akan bergabung dalam satu kerajaan memandangkan DAP antara parti yang menjadi punca BN hilang kuasa tetapi sekarang lihatlah apa berlaku…itulah politik.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Proton S70, pembiayaan fleksibel pacu transformasi industri teksi negara – Loke

KERAJAAN memperkenalkan pendekatan baharu bagi mentransformasikan industri teksi negara menerusi penggunaan Proton S70 sebagai teksi generasi baharu, penyediaan pakej...

More Articles Like This