*Masih perlukan sumbangan umat Islam Malaysia
KIRA-kira 170 kilometer daripada bandar Phom Penh Kemboja, pembinaan sebuah masjid sedang giat dijalankan di wilayah Tboung Khmum.
Pembinaan Masjid Istiqomah itu adalah atas usaha Ustaz Arafath Yusuf – Mudir Madrasah Tahfizul Quran An-Nur. Beliaulah individu yang bertanggungjawab mencari dana bagi membolehkan projek itu dilaksanakan.
Kos pembinaan masjid itu menelan belanja RM2.8 juta dan ketika ini biarpun rancak dibina namun projek tersebut masih kekurangan RM250,000.
Menurut Ustaz Arafath yang juga Kaunselor Wilayah Thboung Khmum, masjid itu mula dibina pada 15 Mac 2023 dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

‘’Ia akan menjadi salah satu masjid terbesar di Kemboja dan boleh menampung 1,000 jemaah serta akan menjadi pusat utama kepada umat Islam di wilayah ini melaksanakan aktiviti keagaaman,’’ katanya kepada UtusanTV ketika ditemui di Tboung Khmum baru-baru ini.
Penulis yang berkesempatan meninjau proses pembinaan masjid itu mendapati kerja-kerja menyiapkan rumah ibadah tersebut giat dijalankan.
‘’Impian saya ialah menjadikan masjid ini sebagai pusat pelbagai aktiviti umat Islam seperti mana dilakukan oleh beberapa masjid di Malaysia. Ia bukan sahaja hanya digunakan untuk solat tetapi juga kegiatan lain termasuk aktiviti ekonomi,’’ kata Ustaz Arafath.
Selain itu, kata beliau, masjid itu juga akan menjadi tempat untuk pelajar Madrasah Tahfizul Quran An-Nur yang terletak bersebelahan masjid menjalankan proses pembelajaran mereka.
Atas sebab itulah Ustaz Arafath mengharapkan umat Islam Malaysia akan terus memberikan sumbangan bagi mencukupkan jumlah kos pembinaan masjid tersebut.

‘’Saya bersyukur dan berterimakasih kerana sebahagian besar sumbangan membina masjid ini adalah daripada umat Islam Malaysia namun saya berharap masih ada lagi yang bersedia menjadi penyumbang bagi menampung kekurangan RM250,000 itu,’’ katanya.
Berdasarkan kepada perbualan dan pengamatan, penulis dapat merasakan betapa gigihnya Ustaz Arafath mahu memastikan pembinaan masjid itu menjadi kenyataan.
Semangat itu bukanlah atas apa-apa kepentingan peribadi tetapi demi memastikan Islam terus berkembang dan kukuh di bumi Kemboja. Ustaz Arafath menyatakan beliau kagum dengan kejayaan beberapa masjid di Malaysia.
‘’Saya mahu mencontohi masjid-masjid itu yang bukan sahaja menjadi tempat beribadat tetapi juga bagi menjana ekonomi,’’ katanya yang melahirkan hasrat untuk melawat Masjid Al-Busyra di Merbok, Kedah dan Pusat Dakwah MADAD di Sungai Petani.
Namun apa yang penting sekarang ialah mencukupkan dahulu RM2.8 juta bagi membolehkan projek pembinaan masjid itu tidak tergendala atau terganggu.
Kepada umat Islam yang berhasrat memberikan sumbangan untuk pembinaan masjid ini, mereka boleh menghubungi Ustaz Arafath di talian +855972255179.

