TIGA lelaki ditahan bersama rampasan dadah bernilai RM5.88 juta dalam dua serbuan sekitar Kuala Lumpur pada 4.50 petang kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki India berusia 30 tahun yang bertindak sebagai penjaga stor telah ditahan di parkir di sebuah kondominium.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam beg sandang yang dibawa suspek telah menemui bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 182.90 gram.
“Dengan panduan arah suspek pertama, polis telah menyerbu sebuah rumah dengan menggunakan kunci yang dirampas.
“Polis telah masuk ke dalam rumah dan menahan seorang lelaki India berusia 33 tahun yang berperanan sebagai ‘runner’.
“Pemeriksaan di dalam rumah telah menemui methamphetamine seberat 111.23 kilogram (kg), kanabis seberat 29.06 kg, pil ekstasi seberat 7.51 kg dan kristal MDMA seberat 6.07 kg,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, seorang lagi lelaki India berusia 30 tahun yang juga berperanan sebagai ‘runner’ telah ditahan di sebuah restoran dekat Taman Mutiara pada pukul 5 petang hari kejadian.
Kok Chin berkata, pihaknya telah merampas methamphetamine seberat 111.42 kg, kanabis seberat 29.06 kg, pil ekstasi seberat 7.51 kg dan kristal MDMA seberat 6.07 kg.
Katanya, tindakan telah diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan telah menyita wang tunai bernilai RM750 dan dua buah kereta jenis Nissan Almera serta Proton Saga bernilai RM55,000.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah berjumlah RM5.9 juta.
“Siasatan mendapati kondominium yang menyimpan barang kes telah disewa oleh suspek pertama dengan sewa bulanan sebanyak RM2,000 sejak enam bulan lepas.
“Gaji sebulan suspek pertama adalah sebanyak RM5,000 manakala suspek kedua dan ketiga sebanyak RM3,000 ke RM5,000,” katanya.
Tambahnya, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan premis tersebut sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran terutamanya kawasan Lembah Klang.
Jelasnya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta saringan ujian air kencing negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 September bagi membantu siasatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

